HULU SELANGOR 12 Mei: Limpahan air lumpur yang memasuki beberapa rumah dan jalan di Taman Desa Anggerik dikenal pasti berpunca aliran air permukaan serta air berlumpur dari kawasan tanah milik persendirian berhampiran.
Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) memaklumkan keadaan itu menyebabkan air lumpur melimpah ke Jalan Anggerik 2F/1 dan Jalan Anggerik 2I ketika hujan lebat pada 10 Mei lalu, sekali gus menjejaskan beberapa kediaman berhampiran.
Susulan kejadian itu, pemilik tanah terlibat telah diberikan notis untuk melaksanakan kerja pembersihan, pembaikan dan langkah mitigasi segera di kawasan berkenaan.
“Tindakan itu termasuk kerja penyelenggaraan serta penambahbaikan parit sementara di tapak bagi mengurangkan risiko kejadian sama berulang pada masa depan,” maklumnya menerusi kenyataan.
Terdahulu, Jabatan Kejuruteraan MPHS menjalankan lawatan pemeriksaan di lokasi kejadian pada 11 Mei susulan aduan penduduk berhubung limpahan air lumpur ke kawasan kediaman dan jalan.
Lawatan itu turut disertai wakil penduduk, pemilik tanah, Pengarah Jabatan Kejuruteraan MPHS serta anggota penguat kuasa bagi meneliti keadaan semasa dan mengenal pasti punca kejadian.
MPHS berkata pihaknya akan terus memantau pelaksanaan tindakan susulan oleh pihak berkaitan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan, kesejahteraan dan keselesaan penduduk sentiasa terpelihara.









