Status terkini LRT3 laluan Shah Alam diumum Januari depan

29 Dis 2025, 8:16 AM
Status terkini LRT3 laluan Shah Alam diumum Januari depan
Status terkini LRT3 laluan Shah Alam diumum Januari depan

SHAH ALAM, 29 DIS: Status terkini berhubung Laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Shah Alam termasuk permulaan waktu operasi akan dimaklumkan sekitar Januari 2026, kata Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana)

Ketua Operasi Laluan Shah Alam Mohd Ariffin Idris berkata ketika ini setiap tren yang digunakan untuk laluan arah Shah Alam sedang melalui ujian tanpa gagal (FFR) dan dipantau Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Sudah ada tiga tren yang sudah sampai jarak yang dikehendaki tetapi ia perlu ‘reevalute’ semula, kerana APAD akan lihat semula kriteria yang telah dijalankan itu.

“Jadi status terkini berhubung LRT laluan Shah Alam akan dimaklumkan sekitar Januari nanti,” katanya kepada pemberita ketika majlis ramah mesra bersama pengamal media Selangor di sini hari ini.

Ketua Operasi Laluan Shah Alam, Mohd Ariffin Idris beramah mesra bersama rakan media Pertubuhan Wartawan Jurugambar Selangor (WAJAR) ketika majlis ramah mesra Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bersama pengamal media di Kelab Shah Alam, Shah Alam pad 29 Disember 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Pada awal bulan ini, Prasarana memaklumkan tarikh baharu pelancaran Laluan LRT3 belum ditetapkan berikutan mengalami kelewatan disebabkan beberapa isu teknikal yang dikesan ketika ujian.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Amir Hamdan, laluan tersebut tidak dapat beroperasi seperti dijadualkan sebelum ini iaitu pada akhir 2025 demi memastikan keselamatan penumpang.

Jelasnya, LRT3 laluan Shah Alam hanya akan beroperasi selepas kerja pembaikan dan penambahbaikan teknikal diselesaikan susulan penemuan beberapa isu keselamatan, operasi dan prestasi ketika proses pengujian dan pentauliahan (T&C).