Pengunjung muzium teruja pelajari teknik seni telepuk, hasilkan sendiri cenderamata

31 Dis 2025, 1:01 AM
Pengunjung muzium teruja pelajari teknik seni telepuk, hasilkan sendiri cenderamata
Pengunjung muzium teruja pelajari teknik seni telepuk, hasilkan sendiri cenderamata
Pengunjung muzium teruja pelajari teknik seni telepuk, hasilkan sendiri cenderamata
Pengunjung muzium teruja pelajari teknik seni telepuk, hasilkan sendiri cenderamata

SHAH ALAM, 31 Dis: Demonstrasi seni telepuk yang berlangsung di Muzium Sultan Alam Shah sempena cuti persekolahan mendapat sambutan menggalakkan apabila pengunjung berpeluang mencuba sendiri teknik tradisional tersebut bagi menghasilkan cenderamata.

Menurut seorang pengunjung, Roslindawati Abdullah, 52, program interaktif itu bukan sahaja memberi pengalaman secara langsung kepadanya, malah membantu masyarakat memahami dengan lebih mendalam keunikan seni telepuk sebagai warisan tekstil Melayu.

“Demonstrasi seni telepuk yang disediakan amat menarik dan sesuai untuk semua lapisan umur kerana prosesnya mudah, tidak rumit serta menyeronokkan untuk dicuba oleh pengunjung.

“Melalui aktiviti itu, pengunjung berpeluang mempelajari motif bunga telepuk dengan lebih terperinci melalui proses yang ringkas dan mudah difahami,” katanya kepada Media Selangor.

pengunjung, Roslindawati Abdullah

Roslindawati menambah, pendedahan terhadap seni warisan seperti telepuk amat penting dalam memastikan generasi masa kini tidak terputus daripada akar budaya dan sejarah bangsa.

Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai medium pendidikan tidak formal yang mampu menarik minat masyarakat khususnya golongan muda untuk menghargai dan memelihara warisan seni tradisional negara.

Seni telepuk merupakan teknik menghias dengan menekap corak menggunakan perada emas dan perak, menghasilkan motif berkilauan yang memancarkan keindahan tersendiri serta menjadi lambang kebangsawanan keluarga diraja Selangor.

Motif ini amat disayangi Almarhumah Tengku Ampuan Jemaah Almarhum Raja Ahmad, suri kepada Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj yang dikenang sebagai penaung seni warisan Melayu termasuk seni telepuk yang turut diamalkan sendiri oleh Baginda.

Selain itu, ia turut menjadi pilihan istiadat persandingan Pasangan Diraja Selangor, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz dengan motif yang dipilih ialah tampuk manggis, iaitu corak buah manggis.