SHAH ALAM, 29 DIS: Polis berjaya menumpaskan satu kumpulan jenayah terancang yang digambarkan ganas dan agresif menerusi Operasi Tiga (Op Tiga) di Kedah baru-baru ini.
Operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama JSK Kontinjen Kedah dan Cawangan Khas Bukit Aman dari 27 November hingga 4 Disember lalu membawa kepada penahanan 17 ahli kumpulan tersebut.
Kumpulan yang sebelum ini dikenali sebagai Geng 35 dan kemudian Geng Rusa Boy itu dikesan aktif melakukan jenayah kekerasan termasuk rompakan, mencederakan mangsa hingga parah, kes bunuh serta pengedaran dadah, khususnya di kawasan Sungai Petani, Kulim dan beberapa lokasi di Pulau Pinang, lapor Berita Harian.
Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M Kumar, berkata kumpulan itu dianggotai kira-kira 35 individu dan diketuai seorang lelaki tempatan dikenali sebagai Rames, yang aktif sejak 2020.
“Operasi ini berjaya menahan 17 ahli kumpulan berumur antara 24 hingga 42 tahun. Semakan rekod mendapati semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuk kes bunuh, rompakan bersenjata, mendatangkan kecederaan parah dan pengedaran dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JSJ Bukit Aman, di sini, hari ini.
Kumar berkata, daripada 17 suspek yang ditahan, tujuh individu sebelum ini pernah disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan pada 2020. Mereka dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan dibebaskan pada Januari lalu sebelum kembali aktif menubuhkan semula kumpulan jenayah itu dengan tindakan lebih agresif.
Kesemua suspek kini disiasat dan ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi membolehkan tindakan diambil terhadap keseluruhan rangkaian kumpulan berkenaan.
Menurut Kumar, kumpulan itu mempunyai struktur organisasi tersusun, dengan pembahagian peranan termasuk kumpulan penyerang, kutipan kewangan dan pengedaran dadah, selain menggunakan kekerasan bagi menimbulkan ketakutan dalam kalangan orang awam.
Kumpulan terbabit dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya dua kes bunuh sejak 2024, dengan dua mangsa maut akibat tetakan, selain beberapa kes jenayah kekerasan lain yang masih disiasat.
Daripada anggaran 35 ahli kumpulan, 15 individu masih bebas, termasuk ketua kumpulan, G R Rames, 36 tahun, dan mereka kini dikategorikan sebagai paling dikehendaki polis.
“Usaha mengesan dan menangkap mereka sedang dijalankan secara agresif. Kita tidak akan berkompromi dan akan memastikan keseluruhan rangkaian kumpulan ini dibawa ke muka pengadilan,” katanya.
Tambah Kumar, kertas siasatan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara pada Selasa lalu, dan arahan sudah diperoleh untuk mendakwa kesemua suspek mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan di Mahkamah Seksyen Sungai Petani esok.
“Kita percaya tangkapan ini dapat mematahkan kegiatan kumpulan jenayah terancang ini dan mengurangkan ancaman keselamatan kepada masyarakat setempat,” katanya.



