Sunathon libat 100 kanak-kanak DUN Batu Tiga esok

28 Dis 2025, 10:28 AM
Sunathon libat 100 kanak-kanak DUN Batu Tiga esok

SHAH ALAM, 28 DIS: Program khatan beramai-ramai (Sunathon) anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga yang dijadual berlangsung esok dijangka melibatkan seramai 100 kanak-kanak.

Wakil rakyatnya Danial Al-Rashid Haron memaklumkan, program yang memasuki tahun ketiga penganjuran itu dilaksanakan dengan kerjasama Klinik Ajwa Shah Alam, selain sokongan Masjid Al Ubudiah, Seksyen 19 Shah Alam.

"Kos khatan berjumlah RM200 bagi setiap peserta ditanggung secara bersama, iaitu RM100 oleh Yayasan EZ Qurban, RM50 oleh DUN Batu Tiga dan RM50 oleh ibu bapa peserta, sekali gus meringankan beban kewangan keluarga terlibat. Pihak masjid pula turut menaja peralatan serta penyediaan makanan sepanjang program.

"Program akan bermula seawal jam 7.30 pagi dan dijangka selesai sekitar waktu Zohor hingga 3 petang. Petugas kesihatan daripada Klinik Ajwa akan membawa enam pasukan perubatan bagi memastikan proses sunatan berjalan lancar dan lebih cepat.

"Pihak bomba turut dijadual hadir bagi sesi mandi semburan air sebelum proses khatan bermula, sebagai elemen sokongan dan pengalaman bermakna kepada kanak-kanak yang terlibat," katanya.

Dalam perkembangan lain, seramai 40 pelajar memerlukan di DUN Batu Tiga menerima sumbangan Kembali Ke Sekolah 2026, pagi tadi.

Danial berkata, penerima menerima sumbangan barangan persekolahan seperti beg sekolah, kasut dan alat tulis.

"Bantuan berbentuk tunai akan disalurkan pada fasa seterusnya bergantung kepada kelulusan dan pelaksanaan bantuan daripada pihak Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

"Buat masa ini, fokus kami adalah bantuan barangan keperluan sekolah. Sekiranya bantuan tunai diluluskan kelak, ia akan ditambah kemudian dan dimaklumkan kepada penduduk," katanya.