Suspek letupan buatan sendiri akan didakwa lima pertuduhan

8 Jan 2026, 5:58 AM
Suspek letupan buatan sendiri akan didakwa lima pertuduhan

SHAH ALAM, 8 JAN: Lelaki dipercayai terlibat dalam insiden letupan buatan sendiri (IED) di kawasan parkir kereta Apartment Desa Palma, Nilai, pada 22 Disember lalu akan didakwa dengan lima pertuduhan esok.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Johari Yahya berkata suspek berusia 63 tahun itu akan didakwa berkaitan peranti IED di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban, memandangkan masih menerima rawatan di hospital berkenaan.

“Tiga pertuduhan akan dibuat mengikut Seksyen 3 Akta Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958 kerana memiliki bahan letupan yang boleh menyebabkan kecederaan.

“Suspek turut didakwa satu pertuduhan mengikut Seksyen 4 akta sama kerana dengan niat jahat menggunakan IED di kawasan parkir Apartment Desa Palma,” katanya hari ini, lapor Berita Harian.

Menurutnya, satu lagi pertuduhan akan dibuat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan menggunakan bahan letupan sehingga menyebabkan kerosakan sebuah kenderaan awam.

Johari berkata kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kes berprofil keselamatan tinggi, dan pihak polis mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan keselamatan awam sentiasa terjamin.

“Siasatan mendapati kejadian ini membabitkan penggunaan dan pemilikan bahan letupan berbahaya yang menimbulkan ancaman serius terhadap keselamatan awam serta kerosakan harta benda,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan polis menemukan objek disyaki IED susulan kejadian letupan di kawasan Desa Palma selepas menerima laporan orang awam berhubung objek meletup serta paku bertaburan di lokasi kejadian.

Siasatan lanjut membawa kepada penahanan suspek yang dipercayai mempunyai pengetahuan teknikal dan kemahiran khusus dalam pembuatan bahan letupan berdasarkan penemuan peranti serta peralatan yang dirampas di rumah sewanya.

Polis turut menemukan 31 lagi peranti IED di kediaman suspek sebelum semua bahan letupan berkenaan dimusnahkan.

Difahamkan, suspek menghasilkan peranti tersebut dipercayai didorong perasaan marah dan dendam terhadap bekas teman wanita yang meninggalkannya sejak lima tahun lalu.