Program Kembali ke Sekolah TNB taja 100 pelajar di Gombak

27 Dis 2025, 8:07 AM
Program Kembali ke Sekolah TNB taja 100 pelajar di Gombak

AMPANG JAYA, 27 DIS: Seramai 100 pelajar sekolah rendah di Parlimen Gombak menerima sumbangan program Kembali ke Sekolah tajaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sempena pembukaan sesi persekolahan 2026.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan bernilai RM100 itu membolehkan setiap penerima membeli kelengkapan persekolahan sekali gus meringankan beban kewangan keluarga.

“Keseluruhan seramai 100 pelajar terima sumbangan ini. Kita agihkan kepada Dewan Undangan Negeri Hulu Kelang, Sungai Tua dan petang ini untuk Gombak Setia.

“Selain sumbangan daripada TNB ini, MBI (Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) juga akan agihkan bantuan sama kepada keluarga memerlukan,” katanya selepas menyerahkan sumbangan kepada penerima DUN Hulu Kelang hari ini.

Minggu lalu, Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor memaklumkan sejumlah RM1.7 juta disalur untuk program Kembali ke Sekolah tahun depan demi meringankan beban keluarga berpendapatan rendah.

Jelasnya, sumbangan dengan agihan tunai RM100 itu bakal memberi manfaat kepada kira-kira 16,800 penerima dan sepanjang 10 tahun dilaksanakan, program berkenaan sudah membantu kira-kira sejuta pelajar menyediakan kelengkapan sekolah.