Kerajaan Selangor bina sistem pengangkutan cekap, mampan dan inklusif

27 Dis 2025, 7:48 AM
Kerajaan Selangor bina sistem pengangkutan cekap, mampan dan inklusif

SHAH ALAM, 27 DIS: Kerajaan Selangor giat membangunkan sistem pengangkutan yang cekap, mampan dan inklusif sepanjang tahun lalu, termasuk berjaya menyiapkan pembinaan laluan pejalan kaki baharu sejauh 57.3 kilometer di seluruh negeri.

EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han berkata pencapaian itu merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri melaksanakan transformasi pengangkutan awam serta memelihara alam sekitar.

Menurut beliau, pelbagai inisiatif dilaksanakan melibatkan penggunaan bas elektrik, pembangunan infrastruktur pejalan kaki, Pelan Induk Pengangkutan Petaling Jaya serta perkhidmatan Bas Smart Selangor.

“Ketika ini, sebanyak 19 bas elektrik beroperasi di Selangor melibatkan empat unit di bawah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan 15 unit oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

“Penggunaan bas elektrik ini berjaya mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 1,155 tan karbon dioksida setahun dan dianggarkan memberi manfaat kepada 1.03 juta penumpang setiap tahun,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Sze Han memaklumkan pembinaan laluan pejalan kaki baharu melibatkan 12 pihak berkuasa tempatan dengan jumlah keseluruhan sejauh 57.3 kilometer, antaranya Majlis Bandaraya Diraja Klang (14.88 kilometer), Majlis Perbandaran Kuala Selangor (7.7 kilometer) dan Majlis Perbandaran Kajang (5.9 kilometer).

Selain itu, laluan pejalan kaki berbumbung sepanjang 1.5 kilometer dari Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor ke pusat bandar Shah Alam juga telah mula digunakan.

Dalam perkembangan berkaitan, jumlah penumpang Bas Smart Selangor terus menunjukkan peningkatan, iaitu 10,327,981 penumpang pada 2023; 10,437,493 penumpang pada 2024 dan meningkat kepada 10.6 juta penumpang tahun ini.

Beliau berkata Pelan Induk Pengangkutan Petaling Jaya memberi tumpuan kepada penambahbaikan pengurusan pengangkutan dan logistik, peningkatan sistem pengangkutan awam sedia ada serta integrasi laluan pejalan kaki dan kemudahan mobiliti mikro.

Sze Han turut memberi jaminan kerajaan negeri akan terus memperkukuh usaha ke arah sistem pengangkutan awam yang lebih hijau dan berkesan di Selangor.