SHAH ALAM, 27 DIS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menawarkan kemudahan parkir percuma kepada warga emas sebagai inisiatif khas sempena sambutan ulang tahun ke-25 Shah Alam sebagai bandar raya tahun ini.
Datuk Bandar Shah Alam Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata lebih 20,000 warga emas di bandar raya itu layak menikmati kemudahan berkenaan, yang sah untuk tempoh dua tahun.
Beliau menjelaskan, kelayakan parkir percuma tertakluk kepada syarat pemohon merupakan pembayar cukai taksiran tanpa tunggakan, selain kediaman dan kenderaan didaftarkan atas nama yang sama.
Dalam perkembangan berkaitan, MBSA turut mencatat kemajuan positif dalam sektor pengangkutan awam apabila memperkenalkan empat bas elektrik Smart Selangor di laluan SA01 yang menghubungkan Stesen KTM Shah Alam ke Seksyen 7, lapor The Star.
Bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan, MBSA memperuntukkan RM5.5 juta bagi operasi laluan berkenaan untuk tempoh tiga tahun.
Ketika ini, sebanyak 12 laluan bas percuma Smart Selangor beroperasi di sekitar Shah Alam, dengan perkhidmatan diberikan secara percuma kepada warganegara, manakala warga asing dikenakan bayaran nominal 90 sen.
Sementara itu, MBSA akan mengambil tindakan tegas terhadap bengkel kenderaan, premis aksesori automotif, pusat cuci kereta dan kedai tayar yang didapati menduduki petak parkir awam secara haram.
Premis terlibat boleh dikenakan denda sehingga RM1,000 dan diwajibkan menyewa sekurang-kurangnya dua petak parkir di hadapan premis masing-masing.
Sebanyak 431 premis melibatkan bengkel kenderaan, kedai aksesori automotif, pusat cuci kereta dan kedai tayar berada di bawah bidang kuasa MBSA.
Shah Alam secara rasmi dinaik taraf sebagai bandar raya pada 10 Oktober 2000, sekali gus menjadi bandar raya pertama di Selangor menerima pengisytiharan berkenaan.





