SHAH ALAM, 26 DIS: Seorang pelajar tingkatan satu dikhuatiri lemas selepas dipercayai dihanyutkan arus deras ketika bermain air bersama abang dan rakannya di kawasan pintu air Sungai Ulu Sat, di sini, petang Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, abang mangsa yang berusia 15 tahun berjaya berpaut pada batu sebelum diselamatkan oleh penduduk kampung, lapor Sinar Harian.
Saksi kejadian, Muhamad Azam Faiz Anuar, 19, berkata beliau menyedari kejadian itu selepas kenderaannya ditahan oleh seorang remaja yang memaklumkan dua rakannya dihanyutkan arus deras.
“Saya yang dalam perjalanan pulang dari arah Pasir Puteh terus berhenti dan mendapati salah seorang mangsa sedang berpaut pada batu di tengah sungai,” katanya.
Menurutnya, beliau segera menghubungi bomba sebelum mendapatkan bantuan rakan untuk membawa tali bagi menyelamatkan remaja berkenaan.
“Abang mangsa berjaya dibawa naik ke darat menggunakan tali dengan bantuan penduduk kampung,” katanya.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Mohamad Alam Shah Yazid, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.33 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, pasukan mendapati seorang budak lelaki dilaporkan hilang manakala abangnya selamat.
“Operasi mencari dan menyelamat ditangguhkan pada jam 7.47 malam dan akan disambung semula esok,” katanya.


