SUKMA 2026: Manfaat temasya pacu pelancongan dan ekonomi setempat - Tourism Selangor

26 Dis 2025, 4:02 AM
SUKMA 2026: Manfaat temasya pacu pelancongan dan ekonomi setempat - Tourism Selangor
SUKMA 2026: Manfaat temasya pacu pelancongan dan ekonomi setempat - Tourism Selangor
SUKMA 2026: Manfaat temasya pacu pelancongan dan ekonomi setempat - Tourism Selangor
SUKMA 2026: Manfaat temasya pacu pelancongan dan ekonomi setempat - Tourism Selangor
SUKMA 2026: Manfaat temasya pacu pelancongan dan ekonomi setempat - Tourism Selangor

SHAH ALAM, 26 DIS: Tourism Selangor memanfaatkan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 untuk meningkatkan pelancongan dan ekonomi negeri, dengan penganjuran pelbagai acar merentasi sembilan daerah dan 12 pihak berkuasa tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Chua Yee Ling berkata strategi berkenaan membolehkan pengunjung bukan sahaja menonton sukan, malah menikmati budaya, seni dan tarikan pelancongan unik di setiap daerah.

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Chua Yee Ling ketika program ‘Bicara Semasa’ di studio Media Selangor di Seksyen 14, Shah Alam, pada 23 Disember 2025.

“Acara diedarkan ke beberapa lokasi kerana Stadium Shah Alam sedang dinaik taraf. Pendekatan merentasi daerah memberi peluang setiap kawasan mempamerkan keistimewaan pelancongan masing-masing.

“Kami mahu memastikan semua pengunjung meninggalkan kenangan manis dengan pengalaman pelancongan yang lengkap sepanjang SUKMA berlangsung,” katanya.

Sementara itu, EXCO Pelancongan Dato' Ng Suee Lim berkata Kerajaan Negeri sudah memulakan persiapan rapi untuk memastikan SUKMA menjadi platform sukan dan pelancongan yang berjaya.

EXCO Pelancongan Dato' Ng Suee Lim. Foto MEDIA SELANGOR

"Selangor sentiasa di barisan hadapan pembangunan bandar pintar. Jadi, dari segi infrastruktur dan perkhidmatan, kami pastikan semua pengunjung mendapat pengalaman terbaik.

"Projek menaik taraf fasiliti sukan sedang giat dijalankan untuk memastikan atlet, jurulatih dan kontinjen berasa selesa dan profesional," katanya.

Selangor terkenal dengan pelancongan agro dan ekopelancongan terutamanya di koridor utara-selatan seperti Shah Alam, Kuala Selangor, Sungai Buloh, Shah Alam, Selayang dan Sepang yang menawarkan keunikan sumber pertanian dan keindahan alam.

Selain itu, gabungan bandar moden dan keindahan alam semula jadi juga memberi nilai tambah kepada Selangor untuk menawarkan pengalaman pelancongan lebih menarik dan berlapis, termasuk untuk keluarga atlet dan penyokong yang hadir.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari (tengah) melancarkan Maskot SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor 2026 di Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, Shah Alam pada 15 Ogos 2025 . Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

SUKMA Selangor 2026 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, diikuti Para SUKMA dari 5 hingga 14 September. Upacara perasmian akan diadakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), manakala penutup di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Edisi kali ini menyaksikan 474 acara dalam 37 sukan, termasuk 30 sukan teras seperti ragbi dan tujuh sukan tambahan antaranya e-sukan, kriket serta silambam. Kesemua sembilan daerah dan 12 pihak berkuasa tempatan menjadi tuan rumah, kecuali acara berbasikal trek yang dijalankan di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM100 juta untuk naik taraf fasiliti dan persediaan SUKMA, memastikan organisasi acara berada pada tahap tertinggi serta pengalaman pengunjung lebih lengkap dan menarik.