SHAH ALAM, 25 DIS: Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis yang kerusinya diisytihar kosong diminta segera memulangkan semula semua aset milik kerajaan negeri yang masih dalam simpanan atau digunakan.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus’sele Eizan berkata, aset terbabit termasuk kenderaan rasmi dan kemudahan lain yang diperuntukkan kepada wakil rakyat semasa mereka berkhidmat, lapor Berita Harian.
Tiga kerusi terbabit melibatkan ADUN Chuping, Saad Seman; ADUN Bintong, Fakhrul Anwar Ismail; dan ADUN Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim yang juga EXCO Belia dan Sukan, Sains, Teknologi dan Inovasi.
“Pihak DUN akan memaklumkan kepada mereka untuk menyerahkan semula semua aset milik kerajaan negeri yang masih digunakan,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan kekosongan luar jangka tiga kerusi berkenaan.
Rus’sele menjelaskan notis rasmi pengosongan kerusi akan dihantar kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh 21 hari bagi membolehkan penilaian terhadap pelaksanaan pilihan raya kecil (PRK).
Semalam, ketiga-tiga ADUN tersebut digugurkan keahlian dalam PAS serta-merta selepas terbabit dalam gerakan menjatuhkan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.
Difahamkan, mereka menyerahkan Akuan Bersumpah (SD) kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bersama lima lagi ADUN daripada Bersatu sebagai tanda hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Mohd Shukri.


