SHAH ALAM, 25 DIS: Kutipan semasa cukai taksiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) merekodkan peningkatan ketara apabila mencatat pertambahan RM17.8 juta atau 22.13 peratus bagi tempoh perbandingan antara 2024 dan 2025.
Menurut kenyataan MPAJ, sasaran anggaran belanjawan tahunan bagi 2025 ditetapkan RM93 juta dengan jumlah tunggakan cukai disasarkan pada RM20.1 juta.
“Bagi tempoh 1 Januari hingga 30 November 2025, pencapaian kutipan semasa cukai taksiran mencecah RM98.4 juta, bersamaan 105.83 peratus daripada sasaran tahunan.
“Kutipan tunggakan pula direkodkan RM14.9 juta atau 74.15 peratus,” menurut kenyataan itu.
MPAJ memaklumkan, dalam tempoh sama kutipan tunggakan cukai taksiran menunjukkan penurunan RM5.1 juta atau 25.61 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Secara keseluruhan, prestasi kutipan cukai taksiran mencatat peningkatan bersih RM12.6 juta atau 12.61 peratus berbanding 2024 sekali gus mengukuhkan kedudukan kewangan pihak berkuasa tempatan itu.
Sebagai penghargaan kepada pembayar cukai yang konsisten menjelaskan cukai mengikut tempoh ditetapkan, MPAJ menganjurkan Majlis Penghargaan Pembayar Cukai Taksiran Yang Baik (Good Tax Payer) di Pusat Konvensyen MPAJ, Taman Melawati, pada 19 Disember lalu.
Seramai 40 penerima terpilih menerima hadiah, sijil penghargaan serta Pas Bulanan Tempat Letak Kereta MPAJ selama setahun yang disampaikan Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Ts Hasrolnizam Shaari.



