Ibu hamil usia 51 tahun, anak-anak teruja sambut adik baharu

25 Dis 2025, 6:39 AM
Ibu hamil usia 51 tahun, anak-anak teruja sambut adik baharu
Ibu hamil usia 51 tahun, anak-anak teruja sambut adik baharu
Ibu hamil usia 51 tahun, anak-anak teruja sambut adik baharu

SHAH ALAM, 25 DIS: Seorang wanita hamil pada usia 51 tahun menjadi perhatian warganet selepas kisah kehamilannya dikongsikan anak sulungnya menerusi media sosial, baru-baru ini.

Anak wanita berkenaan, Nur Amira Bilsabri, 30, berkata dia teruja menerima berita gembira itu meskipun pada awalnya ibu dan bapa tirinya tidak menyangka bakal dikurniakan cahaya mata pada usia lanjut.

“Emak terkejut, abah pun tak sangka tetapi saya teruja kerana memang teringin nak dapat adik baharu,” katanya ketika dihubungi di Kuala Terengganu, lapor Harian Metro.

Menurut Nur Amira, dia mengetahui mengenai kehamilan ibunya, Ayati Hussin, empat hari lalu selepas ibunya sendiri menunjukkan kit ujian kehamilan ketika mereka bertemu.

“Emak beri saya kit kehamilan yang digulung dalam tisu dan minta saya tengok. Kami saling berpandangan. Saya sebenarnya tidak terlalu terkejut kerana sebelum ini emak pernah beberapa kali mengandung tetapi tidak melekat,” katanya.

Beliau berkata ibunya mengambil masa sebelum berterus-terang memaklumkan berita tersebut kepada dia dan dua adiknya.

“Emak ambil masa dua hingga tiga hari untuk beritahu kami. Dia banyak duduk dalam bilik kerana tidak tahu bagaimana hendak berkongsi, takut anak-anak tak terima sedangkan saya okay saja,” katanya.

Tambahnya, ibunya menyangka sudah hampir menopaus memandangkan kitaran haid tidak teratur, namun pemeriksaan mengesahkan beliau hamil.

Sebagai anak, Nur Amira berkata dia menerima kehamilan itu dengan hati terbuka dan bersedia membantu menjaga adik baharunya kelak sekiranya diperlukan.

“Kalau emak tak larat nanti, saya boleh bantu jaga. Buat masa ini adik lelaki saya pun bantu jaga emak ketika abah keluar bekerja,” katanya.

Mengulas mengenai perkongsian video pemeriksaan kandungan ibunya di TikTok yang meraih lebih 1.6 juta tontonan, Nur Amira berkata niat asalnya hanyalah untuk berkongsi kegembiraan serta detik indah ibu dan bapa tiri, Suaat Mohamed, 61, yang bakal menimang cahaya mata.

Bagaimanapun katanya, dia tidak menyangka perkongsian itu menerima pelbagai reaksi termasuk komen negatif daripada warganet.

“Ramai yang mendoakan dan saya ucap terima kasih, tetapi ada juga yang memberi komen menyindir. Saya tak kisah kerana yang penting saya gembira dan harap emak serta kandungannya sentiasa dalam keadaan baik,” katanya.

Menurut Nur Amira, ibunya dijadualkan menjalani pemeriksaan susulan di klinik kesihatan hujung bulan ini dan setakat ini tidak mempunyai masalah kesihatan seperti darah tinggi atau kencing manis.