ad
AGENDA

Ibu hamil, tiga anak redah api selamatkan diri

14 Apr 2022, 2:44 AM
Ibu hamil, tiga anak redah api selamatkan diri

SHAH ALAM, 14 APRIL: Seorang wanita hamil bersama tiga anaknya meredah api demi menyelamatkan diri apabila rumah mereka di Kampung Alor Serdang, Setiu terbakar petang semalam.

Nur Hasya Afiqah Azli, 25, yang mengandung empat bulan berkata ketika kejadian, dia bersama anak-anaknya sedang berehat sementara menanti waktu berbuka puasa, lapor Harian Metro.

Jelasnya, suaminya Mohd Badrul Amin Mohd Ramli, 26, tiada di rumah kerana ke Singapura sejak 11 April lalu untuk membeli perabot terpakai dan pulang hari ini.

"Petang tadi saya kurang sihat kerana alahan mengandung, nasib baik anak sulung berusia lapan tahun perasan ada asap dan api di bahagian pintu depan rumah.

"Anak kedua berusia lima tahun menarik tangan adik perempuannya yang berusia dua tahun sedang tidur untuk keluar dari rumah," katanya yang menyewa di situ sejak tahun lalu.

Nur Hasya yang tinggal sehelai sepinggang menambah kereta dan sebuah motosikal berjaya dipindahkan ke tempat lain namun barangan keperluan termasuk pakaian raya hangus terbakar.

“Buat masa sekarang kami anak beranak tinggal sementara di rumah saudara di kawasan ini,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.