Perisik belot, elak perang nuklear

27 Dis 2025, 6:00 AM
Perisik belot, elak perang nuklear

Beliau datang daripada keluarga perisik yang berjasa kepada Rusia sejak awal. Bapanya Anton Gordievsky berkhidmat dengan NKVD (Komisariat Rakyat untuk Hal-ehwal Dalam Negeri), polis rahsia Rusia sebelum KGB (Jawatankuasa untuk Keselamatan Negara) dibentuk.

Abangnya Vasily juga terlibat dengan badan perisikan terbesar dan terkenal itu. Tetapi keluarga ini tidak selesa dengan kerja perisikan KGB dan juga dasar Kesatuan Sosialis Soviet Rusia (USSR).

Emaknya Olga, seorang perangkawan, selama ini menyimpan rasa mual daripada bapanya. Rupa-rupanya si bapa juga meluat. Apabila Oleg Gordievsky mula berjinak-jinak dalam rangkaian perisikan KGB pada awal 1960-an, Anton tidak setuju.

Buku terjemahan terbaharu kisah ini Perisik dan Pembelot: Kisah Pengintipan Perang Dingin (2025) mencerita detik-detik awal pada halaman 14. Olga "buat pertama kalinya dia secara terang-terangan menyuarakan kemarahannya terhadap rejim dan sistem penindasan [Soviet Rusia]".

"Olga berpaling dan meninggalkan bilik. Anton hanya hanya diam. Oleg dapat merasakan bahawa ayahnya tidak berbangga dengan pencapaiannnya itu," cerita pengarang biografi ini Ben Macintyre.

Untuk menyiapkan kisah perisik hebat ini, penulis The Spy and the Traitor: The Greatest Espionage Story of the Cold War menemubual Gordievsky lebih 20 kali di rumah persembunyiannya.

Membocorkan maklumat strategik kepada badan perisikan MI6 di United Kingdom selama lebih 10 tahun, Gordievsky dianggap tokoh penting yang berjaya mengelak perang nuklear Amerika Syarikat dengan Soviet Rusia pada awal 1980-an.

Buku Perisik Dan Pembelot terjemahan IBDE

Beliau dibawa masuk menyertai KGB tanpa disedari, sekitar awal 1960-an tetapi pada 1974, kolonel itu belot. Kisah pembelotan pegawai kanan KGB ini mengingatkan kita kepada Lai Teck di tanah air kita.

Dilabel pengkhianat terbesar Parti Komunis Malaya (PKM), Teck atau nama sebenarnya Pham Van Dac memegang jawatan tertinggi dalam PKM selama lapan tahun mulai 1939. Tiada sesiapa menyedarinya!

Asalnya menyertai perisikan Perancis di Vietnam, Teck kemudian menyertai PKM dengan butiran diri palsu. Ketika perang Jepun di Malaya, beliau ditahan dan berpaling tadah hingga ramai anggota PKM terbunuh.

Dua tahun selepas perang, 1947, beliau melarikan dengan duit dan emas. Tetapi umurnya tidak panjang. Berjaya dijejak di Bangkok, Thailand oleh ejen PKM, Teck dibelasah hingga mati dan mayatnya dimasukkan ke dalam guni, lalu dibuang di Sungai Chao Phraya.

Tidak semalang ini, Gordievsky diselamatkan dari Sovet Rusia ke Finland pada 1985. Beliau terpaksa menyorok tanpa pakaian di dalam sebuah but kereta ejen perisik MI6.

Detik-detik cemas dan mendebarkan ini dicerita dengan perinci, jam demi jam, pada bab 14 dan 15, hujung buku Perisik dan Pembelot. Lakaran peta dan foto-foto perjalanan menakutkan itu dimuatkan pada halaman 332 hingga 334 karya menarik ini.

Sumbangan terbesar Gordievsky muncul awal 1980-an, beberapa tahun sebelum jejak pembelotannya mula dihidu. Waktu itu, pentadbiran Yuri Andropov berasa sangat takut akan diserang senjata nuklear blok Barat yang diketuai Presiden Ronald Reagan.

Kerisauan Soviet terhadap peluru berpandu antara benua (ICBM) ini, yang dimuatkan nuklear di kepalanya, sudah lama berlarutan. Namun latihan ketenteraan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Jerman pada November 1983 membesar-besarkan lagi ketakutan mereka.

Andropov, sewaktu mengetuai KGB pada 1981, mengarahkan risikan besar-besaran benarkah kuasa Barat sedang menyiapkan senjata untuk perang nuklear. Gordievsky turut menerima arahan ini.

Misalnya, ejen KGB diminta siasat adakah benar United Kingdom sedang menyediakan stok simpanan darah besar-besaran di hospital. KGB juga arah siasat sama ada Kementerian Pertahanan UK bekerja sehingga 24 jam jika lampu terpasang sepanjang malam.

Setahun kemudian, 1982, Andropov mengetuai Rusia. Kemudian, NATO pula mengadakan latihan setahun kemudian.

Di sinilah peranan Gordievsky, beliau sampaikan mesej kepada Perdana Menteri Margaret Thatcher dan sekutunya Reagan bahawa Rusia dalam ketakutan amat sangat. Pegawai-pegawai KGB lain takut berterus-terang kepada Andropov, jadi Gordievsky sampaikan mesej bahawa tiada ancaman nuklear dari Barat.

Tetapi bekerja di belakang tabir tidak mudah dihargai. Beliau disyaki belot dan diarah pulang ke Moscow dari pejabatnya di London pada Mei 1985. Dalam tahanan KGB, beliau diberikan dadah "untuk berterus terang" ketika soal siasat.

Gordievsky dibebaskan tetapi beliau sedar nasibnya tidak akan lebih baik selepas siasatan itu. Maka dua bulan kemudian, beliau merancang melarikan diri melalui isyarat sebatang coklat Mars atau KitKat. Operasi melarikan ini dinamakan Pimlico.

Siapa yang bocorkan rahsia Gordievsky? Seorang ejen Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) yang kuat minum, rumah tangga berantakan dan tidak pernah cukup wang. Namanya mula disebut dalam bab 7 buku Pembelot: Kisah Pengintipan Perang Dingin.

Karya menarik ini dijayakan oleh Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) dengan kerjasama Media Selangor bawah tajaan Kerajaan Selangor.