Kadar pemilikan rumah capai 78 peratus, akses kemudahan asas hampir menyeluruh - DOSM

24 Dis 2025, 7:25 AM
Kadar pemilikan rumah capai 78 peratus, akses kemudahan asas hampir menyeluruh - DOSM
Kadar pemilikan rumah capai 78 peratus, akses kemudahan asas hampir menyeluruh - DOSM
Kadar pemilikan rumah capai 78 peratus, akses kemudahan asas hampir menyeluruh - DOSM

PUTRAJAYA, 24 DIS: Kadar pemilikan rumah di negara ini mencatatkan 78 peratus pada 2024, kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Beliau berkata 19.7 peratus kediaman pula disewa manakala 2.4 peratus merupakan kuarters.

"Pemilikan rumah mengikut etnik menunjukkan isi rumah Bumiputera merekodkan 75.0 peratus berbanding 73.3 peratus sebelum ini (2022)," katanya dalam kenyataan berhubung Laporan Survei Kemudahan Asas Malaysia 2024 hari ini.

Dari segi akses kepada kemudahan asas, Mohd Uzir berkata bekalan air berpaip terawat mencapai 97.2 peratus di peringkat nasional dan liputan bekalan elektrik pula hampir menyeluruh pada kadar 99.9 peratus.

"Penemuan ini menunjukkan isi rumah di Malaysia menikmati akses yang kukuh terhadap perumahan dan utiliti asas merentasi kumpulan pendapatan dan etnik," katanya.

Mohd Uzir berkata rakyat Malaysia juga terus mendapat manfaat daripada ketersediaan kemudahan kesihatan yang signifikan dengan 97.8 peratus isi rumah berada dalam lingkungan lima kilometer dari pusat kesihatan awam, manakala 92.8 peratus berada pada jarak sama dari fasiliti kesihatan swasta.

"Dapatan ini menunjukkan isi rumah di kawasan bandar dan luar bandar mempunyai akses yang baik kepada perkhidmatan perubatan, sekali gus menyumbang kepada liputan kesihatan lebih saksama dan komprehensif di seluruh negara," katnya.

Laporan itu turut mendapati bahawa institusi pendidikan kekal mudah dicapai oleh isi rumah dengan 98.7 peratus isi rumah berada dalam jarak lima kilometer dari sekolah rendah, 95.9 peratus dari sekolah menengah dan 98.2 peratus dari tadika awam.

Mohd Uzir berkata isi rumah di Malaysia kini semakin dilengkapi teknologi penting yang menyokong komunikasi, pembelajaran dan akses kepada maklumat apabila pemilikan telefon pintar merekodkan 98.4 peratus, manakala langganan Internet meningkat kepada 99.6 peratus.

"Penemuan-penemuan ini menegaskan peningkatan positif dalam taraf hidup dan kemudahan akses kepada kemudahan asas bagi keluarga di seluruh negara," katanya.