SHAH ALAM, 17 OKT: Sebanyak 152,856 kes positif urin membabitkan dadah terkawal atau bahan psikoaktif lain direkodkan menerusi Laporan Statistik Jenayah Malaysia 2025 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Laporan itu turut mendedahkan 69,001 kes penipuan bersemuka termasuk perbuatan membabitkan penipuan, pemalsuan atau rasuah berdasarkan infografik rasmi yang diterbitkan menerusi data Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Bagi jenayah siber, 1,486 kes direkodkan di bawah seksyen keselamatan awam dan negara, manakala kesalahan terhadap harta membabitkan kecurian harta persendirian mencatatkan 18,477 kes.
Daripada jumlah kecurian harta persendirian itu, kes terhadap individu merekodkan angka tertinggi iaitu 16,369 kes, diikuti kecurian dalam kenderaan (1,546 kes) dan kes membabitkan pembantu rumah (562 kes).
Sementara itu, jenayah samun yang membabitkan ancaman atau keganasan merekodkan 3,108 kes, manakala 6,522 kes keganasan rumah tangga dicatatkan bagi jenayah yang menyebabkan kemudaratan kepada individu.
Bagi jenayah seksual, 4,562 kes serangan seksual direkodkan, merangkumi 3,347 kes serangan fizikal dan 1,215 kes serangan bukan fizikal, lapor Harian Metro.
Laporan sama turut mendedahkan 252 kes bunuh membabitkan perbuatan jenayah kekerasan yang membawa kepada kematian, dengan 248 kes bunuh dengan niat dan empat kes bunuh tanpa niat.
Dalam kategori penyelewengan barang kawalan yang menjejaskan peruntukan negara, bahan api mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan penyelewengan diesel 463 kes dan petrol (449 kes).
Kesalahan itu diikuti penyelewengan minyak masak 367 kes, gas petroleum cecair (LPG) 350 kes, gula (182 kes) serta tepung gandum (90 kes).
Bagi kesalahan yang menjejaskan alam sekitar semula jadi, 4,911 kes penangkapan ikan secara haram dilaporkan, manakala hanya satu kes rompakan di laut direkodkan dalam kategori kesalahan jenayah lain.









