Selangor catat kos kehidupan wajar tertinggi di Malaysia

24 Dis 2025, 8:58 AM
Selangor catat kos kehidupan wajar tertinggi di Malaysia

PUTRAJAYA, 24 DIS: Selangor mencatat kos kehidupan wajar tertinggi bagi semua saiz isi rumah, manakala Kelantan, Kedah dan Perlis antara negeri dengan kos terendah, menurut Indikator Kos Sara Hidup Malaysia 2024 dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

Penerbitan itu memperkenalkan Indeks Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW), iaitu indikator baharu bagi mengukur tahap perbelanjaan minimum yang diperlukan untuk mengekalkan kehidupan wajar merentas negeri, daerah pentadbiran dan ibu negeri.

Indeks berkenaan menggunakan Kuala Lumpur sebagai rujukan dengan nilai 100, manakala lokasi lain diukur secara relatif, dengan nilai lebih rendah menunjukkan keperluan perbelanjaan rendah dan nilai lebih tinggi mencerminkan kos kehidupan wajar yang tinggi.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata analisis Indeks PAKW 2024 menunjukkan perbezaan jelas kos kehidupan wajar antara negeri bagi semua saiz isi rumah.

“Bagi isi rumah seorang, Selangor mencatat indeks tertinggi pada 92.0 mata indeks, diikuti Pulau Pinang (84.2) dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (83.1) manakala Kelantan, Sarawak dan Kedah merekodkan nilai terendah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata corak hampir sama direkodkan bagi isi rumah dua, tiga dan empat orang, dengan Selangor kekal mencatat indeks tertinggi, manakala Kelantan, Kedah, Perlis dan Sabah berada pada paras lebih rendah tetapi masih mencerminkan kehidupan yang wajar.

Berdasarkan analisis tersebut, kos kehidupan wajar bagi isi rumah seorang di Kelantan adalah 46.3 peratus lebih rendah berbanding Kuala Lumpur, manakala bagi isi rumah empat orang di Perlis, perbelanjaan wajar adalah 39.1 peratus lebih rendah berbanding ibu negara, katanya.

Di peringkat daerah pentadbiran, Mohd Uzir berkata hanya Petaling di Selangor mencatat Indeks PAKW melebihi Kuala Lumpur bagi semua saiz isi rumah, manakala Pantu di Sarawak dikenal pasti sebagai daerah dengan kos kehidupan wajar terendah.

Beliau berkata bagi isi rumah seorang, kos kehidupan wajar di Pantu ialah 72.2 peratus lebih rendah berbanding Kuala Lumpur manakala bagi isi rumah empat orang, perbezaannya mencecah 68.1 peratus.

Mohd Uzir berkata di peringkat ibu negeri pula, Shah Alam merekodkan Indeks PAKW tertinggi bagi semua saiz isi rumah dan melepasi nilai rujukan Kuala Lumpur, manakala Kangar kekal sebagai ibu negeri dengan kos kehidupan wajar terendah.

Kalkulator MyPAKW 2024 turut dikemas kini bagi membolehkan isi rumah menganggarkan perbelanjaan kehidupan wajar berdasarkan lokasi dan demografi, dengan aplikasi mudah alih dijangka tersedia mulai Februari 2026.

Media sebelum ini melaporkan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara pada 19 Mac lalu bersetuju agar DOSM membangunkan satu indikator baharu bagi mengukur tahap kos sara hidup rakyat hingga peringkat daerah bagi membantu kerajaan merangka pelaksanaan program lebih tepat dan berkesan.

- BERNAMA