Kos sara hidup di Shah Alam lebih tinggi berbanding Kuala Lumpur

25 Dis 2025, 4:17 AM
Kos sara hidup di Shah Alam lebih tinggi berbanding Kuala Lumpur
Kos sara hidup di Shah Alam lebih tinggi berbanding Kuala Lumpur
Kos sara hidup di Shah Alam lebih tinggi berbanding Kuala Lumpur

SHAH ALAM, 24 DIS: Selangor dan ibu negerinya, Shah Alam, disenaraikan sebagai lokasi paling mahal untuk didiami di Malaysia berdasarkan Indikator Kos Sara Hidup Malaysia 2024 dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

DOSM memaklumkan dapatan itu berdasarkan Indeks Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) iaitu penunjuk baharu yang mengukur tahap perbelanjaan diperlukan bagi mengekalkan taraf hidup yang wajar mengikut lokasi.

Menurut DOSM, Kuala Lumpur dijadikan penanda aras dengan nilai indeks 100, manakala semua lokasi lain diukur secara relatif berdasarkan penanda aras tersebut.

“Nilai indeks yang lebih rendah menunjukkan perbelanjaan yang lebih rendah diperlukan bagi mengekalkan taraf hidup wajar berbanding nilai rujukan, manakala nilai lebih tinggi mencerminkan keperluan perbelanjaan yang lebih besar,” menurut kenyataan itu.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata Selangor merekodkan indeks tertinggi dalam kalangan semua negeri bagi isi rumah antara satu hingga empat orang, dengan skor masing-masing 92, 91.4, 92.4 dan 91.3 mata indeks berbanding Kuala Lumpur.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin bercakap kepada media selepas taklimat sesi libat urus banci ekonomi 2026 data nadi ekonomi rakyat  di Hotel Premiere, Klang pada 11 November 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Bagi isi rumah seorang, Pulau Pinang mencatatkan indeks kedua tertinggi pada 84.2 diikuti Putrajaya (83.1), manakala tahap perbelanjaan terendah direkodkan di Kelantan dan Sarawak, masing-masing 53.7 serta Kedah (56.6).

Untuk isi rumah empat orang, Putrajaya berada di kedudukan kedua dengan indeks 84.7, diikuti Melaka (83). Indeks terendah pula direkodkan di Sabah (59.4), Kedah (60.5) dan Perlis (60.9).

Dr Mohd Uzir berkata, berdasarkan analisis Indeks PAKW, kos sara hidup munasabah bagi isi rumah seorang di Kelantan adalah 46.3 peratus lebih rendah berbanding Kuala Lumpur.

“Jika isi rumah seorang di Kuala Lumpur membelanjakan RM1,000 bagi PAKW, hanya RM537 diperlukan sekiranya berada di Kelantan,” katanya.

Dalam kalangan ibu negeri, Shah Alam mencatatkan indeks yang melebihi paras rujukan Kuala Lumpur bagi semua saiz isi rumah, dengan Indeks PAKW antara 99.8 bagi isi rumah seorang hingga 100.3 bagi isi rumah empat orang, sekali gus menunjukkan kos sara hidup yang relatif tinggi.

Sebaliknya, Kangar di Perlis merekodkan skor terendah, iaitu sekitar 58.8 hingga 59.2 mata indeks, hampir separuh daripada kos sara hidup di Shah Alam.

Sementara itu, daerah Petaling di Selangor pula mencatatkan Indeks PAKW tertinggi di peringkat nasional, melepasi paras rujukan Kuala Lumpur bagi semua saiz isi rumah, dengan nilai indeks antara 103.3 hingga 104.8.

Menurutnya, perbezaan ketara kos sara hidup antara negeri, daerah dan ibu negeri ini menekankan kepentingan Indeks PAKW sebagai alat untuk memahami variasi perbelanjaan isi rumah mengikut lokasi.

Beliau turut memaklumkan DOSM telah mengemas kini Kalkulator MyPAKW 2024 bagi membantu rakyat Malaysia menganggarkan perbelanjaan asas kehidupan wajar mengikut saiz dan lokasi isi rumah, yang boleh diakses melalui laman MyPAKW dan aplikasi mudah alih yang akan tersedia di App Store serta Google Play Store Februari ini.