SHAH ALAM, 24 DIS: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) merekodkan kutipan cukai taksiran berjumlah RM125.19 juta daripada jumlah keseluruhan RM134 juta sehingga 30 November 2025.
Yang Dipertuanya Shahman Jalaludin berkata, daripada jumlah tersebut, RM66.61 juta dikutip bagi penggal pertama, manakala RM58.58 juta bagi penggal kedua.
“MPS turut berjaya merekodkan kutipan tunggakan apabila RM7.01 juta atau 73.81 peratus tunggakan berjaya dipungut daripada jumlah keseluruhan RM9.5 juta.
“Sejak 2 Oktober 2025, MPS telah memproses tindakan waran tahanan yang mempunyai tunggakan RM200, dengan 38,996 kes diproses dan 22,708 waran dihantar hingga 31 Oktober 2025,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat bulanan baru-baru ini.
Dalam pada itu, Shahman memberitahu MPS telah memproses bil cukai taksiran penggal pertama 2026 melibatkan 231,261 akaun pada 15 November 2025.
“Daripada jumlah itu, 81,490 bil dihantar melalui e-mel mulai 24 November, manakala 68,734 notifikasi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dihantar sejak 2 Disember lalu,” ujarnya.
Dari segi pendigitalan hasil, MPS mencatatkan kutipan RM60.96 juta melalui portal MyMPS, dengan prestasi kutipan tanpa tunai mencecah 82.38 peratus daripada keseluruhan kutipan sehingga November 2025.
“Kutipan ini melibatkan pelbagai perkhidmatan termasuk pembaharuan lesen perniagaan, cukai taksiran, sewaan gerai, permit bangunan dan perancangan, kompaun, cagaran serta pelan,” jelasnya.
Seiring usaha memperkukuh penyampaian maklumat, MPS akan melaksanakan sistem penghantaran bil cukai taksiran melalui aplikasi WhatsApp bermula 2026.
“Pelaksanaan ini selaras dengan usaha penambahbaikan perkhidmatan dan komunikasi terus kepada pembayar. Ahli Majlis juga diminta membantu membuat hebahan kepada penduduk di kawasan masing-masing,” tambahnya.


