Selangor catat jualan padi tertinggi tahun lalu, rekod lebih 240,000 tan metrik

24 Dis 2025, 12:01 AM
Selangor catat jualan padi tertinggi tahun lalu, rekod lebih 240,000 tan metrik
Selangor catat jualan padi tertinggi tahun lalu, rekod lebih 240,000 tan metrik
Selangor catat jualan padi tertinggi tahun lalu, rekod lebih 240,000 tan metrik
Selangor catat jualan padi tertinggi tahun lalu, rekod lebih 240,000 tan metrik

SHAH ALAM, 24 DIS: Selangor mencatat pengeluaran padi yang terjual di pasaran tertinggi negara dengan kadar 99.4 peratus, menurut Laporan Banci Pertanian 2024.

Ketua Perangkawan Negara Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata Selangor menghasilkan 246,405 tan metrik padi setahun iaitu kedua tertinggi negara, selepas Kedah dengan 789,444 tan metrik.

Beliau berkata, kuantiti jualan padi di Selangor merekodkan 244,901 tan metrik (99.4 peratus), berbanding Kedah hanya 636,415 tan metrik iaitu 75.95 peratus.

“Sektor tanaman padi merekodkan pendapatan berjumlah RM3,841 juta kepada ekonomi negara, dengan Kedah merupakan penyumbang tertinggi.

“Kedah dominan dengan memiliki 46.1 peratus keluasan jelapang padi dan 44.5 peratus pengeluaran hasil padi.

“Namun, Selangor mencatat 99.4 peratus daripada pengeluaran, dijual ke pasaran dan yang tertinggi di negara,” katanya ketika membentangkan laporan berkenaan secara dalam talian, semalam.

Ketua Perangkawan Negara Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin bercakap kepada media selepas taklimat sesi libat urus banci ekonomi 2026 data nadi ekonomi rakyat  di Hotel Premiere, Klang pada 11 November 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Untuk rekod, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) membentangkan Laporan Banci Pertanian keempat negara, dengan kali terakhir ia dilaksanakan adalah pada 2005.

Dr Mohd Uzir menambah, Malaysia menghasilkan 2.19 juta metrik padi setahun dengan keluasan tanaman keseluruhan berjumlah 497,414 hektar.

Daripada jumlah itu, katanya, Selangor memiliki 38,707 hektar kawasan padi dan merupakan negeri keempat terbesar dalam sektor tanaman padi selepas Kedah, Perak dan Kelantan.

“Bagaimanapun, apa yang membimbangkan adalah lebih 50 peratus sektor tanaman padi di seluruh negara dilaksanakan oleh tenaga kerja dan buruh tua berumur 60 tahun ke atas,” katanya.

Ogos lalu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memaklumkan Selangor menjadi negeri perintis kajian penanaman padi lima musim dalam dua tahun (5M2T) menerusi projek percubaan di Sawah Sempadan, Kuala Selangor.

Usaha itu dibuat menerusi penyelidikan bersama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) serta Pihak Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor antara 2015 hingga 2017 melibatkan kawasan 214.9 hektar dan disertai 141 pesawah.