SHAH ALAM, 24 DIS: Selangor merekodkan kuantiti pengeluaran dan nilai jualan kelapa tertinggi dengan hasil 178,641 tan metrik setahun berjumlah RM282.5 juta, menurut Laporan Banci Pertanian 2024.
Ketua Perangkawan Negara Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata keluasan tanaman kelapa Selangor adalah 12,143 hektar, iaitu kedua tertinggi negara selepas Johor yang memiliki 14,225 hektar.
“Walaupun Johor memiliki tanaman yang lebih luas, penghasilan kelapa di Selangor adalah lebih banyak dengan 178,641 tan metrik berbanding Johor hanya 132,268 tan metrik.
“Malah, nilai jualan kelapa di Selangor juga adalah paling tinggi dengan RM282.5 juta berbanding Johor RM202.74 juta,” katanya ketika membentangkan laporan berkenaan secara dalam talian, semalam.
Untuk rekod, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) membentangkan Laporan Banci Pertanian keempat negara, dengan kali terakhir dilaksanakan adalah pada 2005.

Sementara itu, Dr Mohd Uzir berkata tiga daerah di Selangor aktif dalam sektor pertanian iaitu Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Kuala Langat.
Menurutnya, Sabak Bernam mempunyai pegangan pertanian tertinggi di Selangor dengan 9,664 pegangan individu, diikuti Kuala Selangor (7,194) dan Kuala Langat 5,471 pegangan.
“Namun pendapatan pertanian tertinggi direkodkan di Kuala Selangor dengan RM1,841 juta, diikuti Sabak Bernam (RM1,824 juta) dan Kuala Langat RM1,465 juta.
“Keseluruhan kawasan tanaman di Selangor adalah 176,868 hektar membabitkan 4,303 tanaman, 2,628 ternakan, 1,468 perikanan dan 273 akukultur,” katanya.
Menerusi Belanjawan Selangor 2026, Kerajaan Negeri memperuntukan RM4.85 juta bagi memperkukuh keterjaminan bekalan makanan negeri.
Dato’ Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata pembangunan agro food park serta tanah berpotensi juga menerima peruntukan RM9.5 juta demi mengukuhkan industri asas tani negeri.



