Gagal patuh syarat ditetapkan, lima warga asing dilarang masuk Malaysia

23 Dis 2025, 12:55 AM
Gagal patuh syarat ditetapkan, lima warga asing dilarang masuk Malaysia

SHAH ALAM, 23 DIS: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menolak kemasukan lima warga asing ke negara ini sebaik tiba di Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Bukit Kayu Hitam semalam.

Timbalan Komander (Operasi) AKPS Bukit Kayu Hitam Noor Azam Ahmad, berkata tiga wanita dan dua lelaki itu tidak mematuhi syarat kemasukan yang ditetapkan.

"Seorang lelaki dan wanita Myanmar masing-masing berusia 50-an ditolak kemasukan kerana tidak mempunyai kebenaran sah untuk memasuki Malaysia melalui laluan darat.

"Selain itu, seorang lelaki warga Thailand berusia 49 tahun juga turut ditolak kemasukannya disebabkan pasport yang dimiliki telah diklasifikasikan sebagai rosak.

"Dalam pada itu, dua wanita warga China berusia dalam lingkungan lewat 40-an turut diberikan Notis Penolakan Masuk kerana tidak memenuhi syarat kemasukan serta disyaki bukan pelancong tulen, " katanya dalam kenyataan hari ini.

Noorazam berkata, semua mereka diarahkan berpatah balik ke negara asal melalui laluan yang ditetapkan.