Kereta terbabas masuk sungai, pemandu ditemukan lemas

22 Dis 2025, 10:47 AM
Kereta terbabas masuk sungai, pemandu ditemukan lemas

SHAH ALAM, 22 DIS: Seorang lelaki dipercayai pemandu kereta Perodua Axia putih ditemukan lemas selepas kenderaan dipandunya terbabas sebelum terjunam ke dalam Sungai Ampang Jajar di Persiaran Taman Jeragan, Alor Setar, Kedah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba I Ismail Mohd Zain berkata, kereta berkenaan ditemukan pada jam 2.35 petang oleh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah ketika operasi selaman dijalankan.

“Hasil pemeriksaan mendapati mangsa, iaitu pemandu kenderaan, masih berada di dalam kereta dan memakai tali pinggang keledar.

“Menurut saksi, mereka melihat kereta tersebut terjatuh ke dalam sungai, timbul seketika sebelum tenggelam secara perlahan,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Beliau berkata, kenderaan yang dipandu mangsa, Ooi Cheah Jhun, 28, dipercayai meluncur kira-kira 49 meter sebelum melanggar besi penghadang dan terjunam ke dalam sungai.

Menurut Ismail, mangsa berjaya dikeluarkan dan dibawa ke tebing pada jam 2.39 petang sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Operasi menyelamat melibatkan 12 anggota PPDA dari BBP Jitra dan Sungai Petani, 19 anggota dari BBP Alor Setar serta kerjasama PDRM, Jabatan Laut Malaysia (JLM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Terdahulu, kejadian itu tular di media sosial selepas seorang individu dilaporkan lemas apabila kereta dipandunya terbabas dan terjatuh ke dalam sungai di Alor Setar, hari ini.