SHAH ALAM, 21 DIS: Pelbagai program promosi dan kerjasama dengan industri perhotelan dilaksana sepanjang suku keempat tahun ini bagi memastikan sasaran lapan juta pelancong sempena Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025) tercapai.
EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim berkata pengusaha hotel menawarkan pakej dan promosi istimewa untuk menarik lebih ramai pengunjung bermalam di negeri ini.
“Begitu juga dengan taman tema air. Pengusaha berikan harga lebih murah untuk menarik kehadiran pengunjung, terutama yang membawa keluarga.
“Sekarang cuti persekolahan bermula selain sambutan Krismas. Lebih banyak baucar dan diskaun membeli-belah ditawarkan. Semua ini merupakan pecutan terakhir sebelum TMS2025 berakhir,” katanya kepada Media Selangor.
Menurut Suee Lim, setakat suku ketiga tahun ini, Selangor telah menerima 6.4 juta pelawat iaitu 80 peratus daripada sasaran lapan juta pengunjung tahun ini.
“Hebahan kempen ‘Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu’ juga akan diteruskan di media sosial.
“Angka keseluruhan pelancong hanya akan diketahui pada Februari tahun depan. Namun, kami yakin sasaran mampu dicapai berdasarkan kehadiran pengunjung sebelum ini,” katanya.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri mensasarkan kehadiran lapan juta pelancong sepanjang TMS2025 dengan potensi transaksi ekonomi sebanyak RM11.7 bilion.





