SHAH ALAM, 21 DIS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyeru masyarakat menunaikan zakat bagi membantu golongan warga emas tanpa waris yang memerlukan perhatian, perlindungan dan sokongan berterusan.
LZS memaklumkan kutipan zakat tersebut akan dimanfaatkan melalui saluran Rumah Orang Tua: Tempat Teduh dan Kasih Sayang Warga Emas, bagi memastikan golongan berkenaan menerima penjagaan rapi serta kehidupan yang lebih terjamin.
“Di usia emas, mereka sepatutnya berehat dikelilingi kasih sayang keluarga. Namun bagi warga emas yang tiada waris, kesepian menjadi ujian terbesar dalam kehidupan mereka.
“Ayuh santuni mereka seperti ibu bapa kita sendiri. Sumbangan zakat anda amat bermakna bagi memastikan mereka terus mendapat penjagaan, perlindungan dan kasih sayang yang sewajarnya,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menurut agensi itu, kutipan menerusi saluran Rumah Orang Tua setakat ini mencecah RM2.85 juta daripada sasaran kutipan tahun ini sebanyak RM4.61 juta
Orang ramai boleh menunaikan zakat menerusi platform crowdzakat.zakatselangor.com.my.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh mengikuti saluran media sosial rasmi LZS di Facebook, Instagram, X, YouTube dan TikTok menerusi akaun @zakatselangor.



