31 rakyat Malaysia mangsa sindiket penipuan dibawa pulang dari Myanmar

20 Dis 2025, 1:57 PM
31 rakyat Malaysia mangsa sindiket penipuan dibawa pulang dari Myanmar

SHAH ALAM, 20 DIS: Kementerian Luar Negeri melalui Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok dan Yangon berjaya memudah cara repatriasi 31 warganegara Malaysia yang terbabit dengan sindiket penipuan dalam talian di Myawaddy, Myanmar.

Wisma Putra memaklumkan kumpulan berkenaan adalah antara warga asing yang diselamatkan pihak berkuasa Myanmar dalam operasi membanteras aktiviti penipuan dalam talian di kawasan itu baru-baru ini.

Menurut kenyataan, kesemua mereka selamat tiba di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah pada jam 6.50 petang hari ini sebelum diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan lanjut.

“Identiti semua individu terbabit telah disahkan lebih awal oleh pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok semasa operasi repatriasi pada awal Disember lalu.

“Kepulangan mereka tidak dapat diuruskan serta-merta kerana tertakluk kepada undang-undang imigresen tempatan atas kesalahan masuk tanpa izin,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, hasil rundingan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok dengan bantuan pihak berkuasa Imigresen Thailand, kumpulan berkenaan dibebaskan di bawah Mekanisme Rujukan Kebangsaan (NRM) Thailand semalam.

“Kumpulan tersebut disambut pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok sebelum dibawa pulang ke tanah air melalui jalan darat menerusi Bukit Kayu Hitam,” katanya.

Wisma Putra turut memaklumkan bantuan konsular komprehensif telah diberikan, termasuk pemakluman kepada ahli keluarga, pengeluaran dokumen perjalanan sementara, penyelarasan logistik, penyediaan keperluan asas serta pengiringan sepanjang perjalanan sejauh 26 jam dari Mae Sot, Wilayah Tak ke Bukit Kayu Hitam.

“Operasi ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kementerian dalam menjaga kebajikan warganegara Malaysia di luar negara, khususnya mereka yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan dan dalam talian.

“Kejayaan ini adalah hasil kerjasama erat Kementerian Dalam Negeri, PDRM, Jabatan Imigresen Malaysia, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok dan Yangon serta Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla,” katanya.

Kementerian Luar Negeri turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Thailand dan pihak berkuasa Myanmar atas kerjasama dalam memudah cara dan mempercepatkan usaha membawa pulang 31 warganegara Malaysia terbabit.

Menurut kenyataan itu, kementerian kekal komited memastikan kebajikan rakyat Malaysia di luar negara terpelihara dan akan terus menghulurkan bantuan konsular menerusi perwakilan diplomatiknya apabila diperlukan.