SHAH ALAM, 20 DIS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menyeru umat Islam di negeri ini menunaikan zakat, yang disifatkan sebagai sumber keberkatan dan nadi penting kepada ribuan keluarga fakir dan miskin.
Baginda bertitah kadar pematuhan zakat di Selangor masih rendah dengan hanya 380,000 umat Islam membayar zakat tahun lalu iaitu bersamaan kira-kira 20 peratus daripada jumlah yang sepatutnya menunaikan kewajipan itu.
"Realiti ini memberi isyarat yang jelas masih ramai umat Islam di negeri ini yang belum menyempurnakan rukun Islam yang ketiga mungkin kerana sikap lalai, jahil atau ingkar terhadap fatwa serta ketetapan pihak berkuasa agama berhubung kewajipan membayar zakat di Selangor.
"Ketahuilah bahawa jumlah asnaf di Selangor amat besar dan memerlukan perhatian serius daripada kita semua. Golongan fakir dan miskin sahaja telah melebihi 70,000 keluarga yang bergantung kepada bantuan zakat bagi kelangsungan hidup," titah baginda menerusi kenyataan di Facebook Selangor Royal Office malam tadi.
Baginda turut mengulangi titah terdahulu bahawa zakat hendaklah dibayar dan disalurkan di dalam Selangor, dan tidak diberikan ke tempat lain tanpa keperluan yang sah.
"Ketetapan ini bertujuan memastikan zakat sampai kepada asnaf yang berhak, selaras dengan kaedah pengurusan yang teratur dan amanah.
"Fahamilah bahawa zakat bukan sekadar tuntutan syarak, tetapi ia adalah manifestasi keimanan dan ketakwaan yang membawa keberkatan," titah baginda.
Sultan Sharafuddin turut menyeru umat Islam menghayati khutbah Jumaat semalam bertajuk “Zakat: Kunci Keberkatan”, yang mengingatkan bahawa zakat menyucikan harta dan membawa keberkatan Ilahi, bukannya mengurangkan rezeki seseorang.
“Mereka yang menunaikan zakat dengan penuh iman dan ketaatan akan mendapati rezeki mereka mencukupi dan segala urusan dipermudahkan.”
Baginda turut menolak anggapan bahawa zakat adalah beban kewangan atau sama seperti cukai, sebaliknya menjelaskan kewajipan itu adalah ibadah yang membuka pintu keberkatan.


