SHAH ALAM, 20 DIS: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperkenalkan insentif rebat RM150 kepada peniaga pasar malam yang beralih menggunakan generator mesra alam, sebagai sebahagian daripada penambahbaikan 13 garis panduan perniagaan baharu dan sedia ada di bandar raya itu.
Insentif yang menyasarkan 500 pemegang lesen terawal dan bermula Januari depan itu bertujuan mengurangkan pencemaran bunyi serta menyokong agenda bandar rendah karbon.
MBPJ memaklumkan penambahbaikan garis panduan berkenaan dibuat selaras perubahan landskap ekonomi sosial serta model perniagaan semasa, merangkumi sektor hiburan, pusat siber, perniagaan dalam talian di kawasan kediaman dan operasi bengkel di zon komersial.
“Langkah ini dilaksanakan berdasarkan kuasa di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 bagi memastikan aktiviti perniagaan dikawal selia dari aspek keselamatan, kesihatan awam dan ketenteraman masyarakat.
“Penyesuaian dasar turut mengambil kira kemunculan aktiviti baharu seperti ‘pet cafe’, zoo mini, pusat krematorium haiwan serta perniagaan rokok elektronik yang memerlukan garis panduan jelas. Ia juga penting bagi menangani isu pematuhan waktu operasi premis berisiko tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.
MBPJ turut menjelaskan bahawa beberapa cadangan yang melibatkan dasar Kerajaan Negeri dan Persekutuan akan ditangguhkan sementara sehingga keputusan dasar muktamad dicapai, bagi memastikan keseragaman pendirian serta pelaksanaan di semua peringkat.
Sementara itu, garis panduan bagi aktiviti pet krematorium dan pusat memperingati haiwan dijadualkan berkuat kuasa mulai Januari 2026 dengan syarat ketat merangkumi aspek alam sekitar, keselamatan, kebajikan haiwan dan kebersihan awam.
Menurut MBPJ, keseluruhan penambahbaikan itu merangkumi lapan penambahbaikan punca kuasa serta lima garis panduan baharu, hasil kajian menyeluruh dan libat urus bersama agensi teknikal serta pemain industri.
Bagi memastikan dasar selaras dengan standard antarabangsa, MBPJ bersama Kerajaan Negeri turut menjalankan lawatan penandaarasan ke Tokyo, khususnya bagi meneliti aspek kebajikan haiwan dan pengurusan ruang pengunjung bagi aktiviti melibatkan haiwan.
MBPJ menegaskan pihaknya komited menjadi pemudah cara pembangunan ekonomi setempat melalui insentif hijau yang membantu peniaga tanpa berkompromi terhadap kawal selia, keselamatan dan kesejahteraan awam menjelang 2026.



