SHAH ALAM, 19 DIS: Pembinaan blok tambahan di Hospital Banting dijangka meningkatkan tahap keselesaan warga hospital serta mengurangkan masalah kesesakan di institusi kesihatan berkenaan.
EXCO Perumahan, Datuk Borhan Aman Shah berkata penambahan blok baharu bagi hospital yang telah beroperasi lebih 50 tahun itu amat dinantikan oleh penduduk Kuala Langat memandangkan Hospital Banting kini menjadi tumpuan utama masyarakat setempat dan berdepan keadaan semakin sesak serta terhad dari segi ruang.
"Dengan adanya kelulusan daripada Jemaah Menteri dan YAB Perdana Menteri, pembinaan akan memberi kelegaan khususnya penduduk Kuala Langat yang berada dalam keadaan terdesak.
"lawatan saya ke setiap wad lelaki, wanita dan kanak-kanak mendapati terdapat penambahan katil yang menyebabkan kurang selesa," katanya kepada Media Selangor selepas melakukan lawatan rasmi di Hospital Banting, hari ini.
Sementara itu, Borhan berharap agar sepanjang tempoh pembinaan blok baharu dijalankan, pihak kementerian dapat memberi perhatian terhadap keperluan segera Hospital Banting khususnya kerja-kerja pembaikan bumbung yang rosak sehingga menyebabkan kebocoran pada siling.
"Saya bimbang kerosakan tersebut memberi gangguan kepada pesakit apabila ada siling jatuh dan kebocoran, hanya ada dua blok yang masih belum ditukar," tambahnya.
Menurutnya, lawatan rasmi beliau ke hospital berkenaan bertujuan memberi semangat kepada pesakit serta para petugas kesihatan di samping menjadikan pimpinan negeri sentiasa turun padang untuk mendengar sendiri keluhan dan permasalahan yang dihadapi.
Dalam lawatan tersebut, Borhan turut menyampaikan sumbangan sebanyak 10 unit kerusi roda kepada pihak pengurusan Hospital Banting untuk kegunaan pesakit.


