SHAH ALAM, 19 DIS: Worldwide Holdings Berhad (WHB) melancarkan pusat kitar semula berteknologi tinggi dikenali Automatic Drive-Thru Recycling Center (ADTREC), sebagai inisiatif memperkukuh pengurusan sisa pepejal dan kelestarian alam sekitar di Selangor.
Pusat pengumpulan automatik itu mengintegrasikan teknologi automasi, sistem digital dan prinsip ekonomi kitaran bagi membolehkan amalan kitar semula dijalankan secara lebih mudah dan efisien.
Pelancaran tersebut merupakan hasil kerjasama strategik antara WHB dan Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPEN) yang menyokong aspirasi Pelan Induk Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Negeri Selangor (PISPPANS).
Majlis pelancaran disempurnakan EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Dato’ Ng Suee Lim bersama EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Worldwide Holdings Berhad, Datin Paduka Norazlina Zakaria pada 16 Disember lalu.
Menurut Norazlina, ADTREC beroperasi 24 jam sehari tanpa memerlukan tenaga kerja tetap, sekali gus meningkatkan kecekapan operasi dan memudahkan orang awam terutama kakitangan kerajaan melaksanakan amalan kitar semula secara konsisten.
“ADTREC merupakan bukti komitmen WHB terhadap pembangunan mampan dan sokongan terhadap agenda PISPPANS. Ia juga menandakan kerjasama sulung kami dengan Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa ADTREC akan ditempatkan secara kekal di kawasan berhampiran Parkir Pintu 3, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).
Penempatan itu membolehkan warga kerja kerajaan dan pelawat mengambil bahagian dalam aktiviti kitar semula tanpa mengira masa.
Inisiatif ini dijangka menjadi pemangkin kepada peluasan konsep kitar semula pintar di lokasi strategik lain di seluruh Selangor.


