Rakan tunggu lapan jam di Zurich tapi Suri tak muncul

19 Dis 2025, 5:02 AM
Rakan tunggu lapan jam di Zurich tapi Suri tak muncul

SHAH ALAM, 19 DIS: Kehilangan Suri Narudin, 53, hanya disedari selepas wanita itu gagal tiba di Zurich, Switzerland seperti dijadualkan, sebelum rakan-rakan yang menunggunya di sana menghubungi keluarganya di Sarawak.

Rakan rapat mangsa, Mac Ruhayu Mohd Nor, berkata Suri sepatutnya berlepas dari Kuala Lumpur ke Doha terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanan ke Zurich bagi bertemu rakan-rakan lama.

“Rakan yang menunggu di Doha tidak tahu nak hubungi siapa apabila Suri tidak tiba, menyebabkan kebimbangan hanya tercetus selepas rakan di Switzerland gagal mengesan kehadirannya,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Beliau berkata kebimbangan memuncak apabila rakan-rakan di Switzerland menunggu hampir lapan jam di lapangan terbang namun Suri tidak muncul.

“Rakan-rakan di Switzerland yang mula risau sebab dia tak muncul-muncul. Mereka tunggu sampai lapan jam, tapi Suri tak sampai, itu yang akhirnya hubungi keluarga di Sarawak,” katanya.

Menurut Mac Ruhayu, perjalanan ke Switzerland merupakan rutin tahunan Suri dan semua urusan penerbangan serta perancangan perjalanan telah dibuat lebih awal.

Beliau berkata kehilangan mangsa mula menimbulkan kegelisahan apabila beberapa hari berlalu tanpa sebarang khabar, sedangkan Suri biasanya mudah dihubungi.

Mayat seorang wanita dalam beg ditemui di sebuah rumah tidak berpenghuni di Kampung Batu 4, Pedas, Seremban semalam. Foto Facebook orang awam

“Mengenali Suri, dia bukan jenis yang akan senyap begitu saja. Bila dah beberapa hari tak dapat dikesan, memang kami rasa ada sesuatu yang tak kena,” katanya.

Mac Ruhayu berkata usaha mencari mangsa pada peringkat awal berdepan kekangan kerana tiada petunjuk jelas, menyebabkan laporan kehilangan yang dibuat keluarga pada mulanya tidak menunjukkan unsur jenayah.

Bagaimanapun, katanya, siasatan mula digerakkan secara lebih meluas selepas desakan berterusan termasuk penyebaran maklumat kepada orang awam.

“Atas desakan dan kerjasama semua pihak, barulah pencarian itu bergerak. Kalau tidak, kes ini mungkin dianggap tiada unsur jenayah. Namun kami berterima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas tindakan pantas mereka,” katanya.

Mac Ruhayu memaklumkan Suri tinggal di Apartmen Seri Nilam, Ampang, selain kerap berulang-alik antara Sarawak dan Kuala Lumpur, dan ketika berada di ibu negara, mangsa menetap bersama anak saudara perempuannya.

Beliau berkata setakat ini, identiti mayat wanita yang ditemui di sebuah rumah kosong di Kampung Batu 4, Pedas, Seremban semalam masih belum dapat dipastikan sepenuhnya.

“Anak saudara Suri yang tinggal bersamanya di Ampang sudah ke Hospital Rembau untuk proses pengecaman mayat. Saya dimaklumkan pengesahan identiti masih memerlukan ujian DNA,” katanya.

Semalam, media melaporkan penemuan mayat seorang wanita dalam beg di sebuah rumah tidak berpenghuni di Kampung Batu 4, Pedas dekat Seremban.

Polis mengesahkan mayat itu berkemungkinan mempunyai kaitan dengan kehilangan Suri yang pernah dilaporkan sebelum ini.