Letupan gas memasak, lelaki melecur badan

19 Dis 2025, 2:15 AM
Letupan gas memasak, lelaki melecur badan

SHAH ALAM, 19 DIS: Seorang pekerja pembersihan melecur di badan selepas berlaku letupan gas masak di rumahnya di Taman Pagoh Jaya dekat Muar, malam tadi.

Mangsa lelaki berusia 51 tahun itu kemudiannya dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di Muar untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Komander Operasi Bomba dan Penyelamat Pagoh, Nor Alfattah Omar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.54 malam sebelum tujuh anggota dikerahkan ke lokasi.

Setibanya di tempat kejadian, beliau berkata pihaknya mendapati berlaku kebakaran melibatkan perkakas memasak di rumah berkenaan.

“Kejadian pada jam 8 malam itu menyebabkan seorang lelaki yang juga penghuni rumah berkenaan melecur 30 peratus pada badannya.

“Kebakaran berjaya dipadamkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba. Mangsa dikejarkan ke HPSF dengan menggunakan ambulans,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.35 malam, manakala punca kejadian masih dalam siasatan.