Dalam dunia yang jarang memberi ruang kepada kesedihan, hadir seorang lelaki memilih untuk duduk bersama sekumpulan insan yang luluh hati.
Mohd Izary Muhammed Ikhbal atau lebih dikenali sebagai 'coach cerai', individu pertama dalam negara yang menawarkan bimbingan khusus buat mereka yang melalui fasa paling berat dalam hidup iaitu perceraian.
Namanya menjadi tumpuan warga maya selepas tampil dalam satu video di laman sosial baru-baru ini bersama seorang selebriti wanita yang bergelut dengan pergolakan rumah tangga.
Walaupun dikenali sebagai pembimbing, lelaki berasal dari Pulau Pinang itu pernah berada di tempat sama seperti para pelanggannya.
Bercerai dua kali sehingga terpaksa melalui trauma tujuh tahun lamanya, pengalaman itu menjadi pemangkin untuk Mohd Izary kembali membina dirinya semula. Mengenalkannya kepada realiti sebenar trauma pascacerai.
"Memang patah hati, patah semangat. Melalui pengalaman itu, saya sedar satu perkara besar, ramai orang bercerai tetapi tiada siapa membimbing mereka untuk bangkit semula” katanya yang mengimbau tempoh perit itu.
Kerjaya asing
Malaysia memiliki kaunselor dan kumpulan profesional untuk membantu pasangan menyelamatkan rumah tangga, tetapi sangat kurang bimbingan selepas perceraian. Dari sudut pemulihan emosi, arah hidup baharu dan penjagaan anak.
Cerita Mohd Izary, kerjaya seperti itu di negara luar, namun masih asing menjadi kelaziman di Malaysia.
Keadaan itu mendorong beliau meneliti model bimbingan pascacerai dari Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia.
“Disebabkan tiada pembimbing seperti itu di Malaysia, saya ambil keputusan untuk menjadi yang pertama.”
Lelaki berusia 45 tahun itu memilih jenama 'coach cerai' sebagai strategi pemasaran walaupun tahu ia kedengaran sensitif.
“Orang ingat saya ajar orang bercerai. Padahal saya ajar mereka membina semula hidup setelah bercerai. Kalau ada peluang selamatkan perkahwinan, saya tetap bantu.”
Hampir 90 peratus individu yang berjumpa dengannya sudahpun bercerai bukannya mahu bercerai.
Tugasnya bukan meminta pasangan bermasalah kembali kepada pasangan, sebaliknya memberi kesedaran untuk lebih teguh diri dalam mendepani pancaroba itu.
"Ada yang mengecam, ada yang keliru, ada yang skeptikal terutamanya mereka yang tidak pernah melalui perceraian.
“Tapi bila mereka melalui saat itu, iaitu bercerai, barulah mereka akan kata, kalaulah ada servis begini dulu, hidup saya mungkin lebih cepat stabil."
Bagi Mohd Izary, komen negatif bukan halangan. Hasratnya hanya mahu membantu pasangan bercerai menguruskan trauma, hilang keyakinan diri serta menjalani kehidupan sebagai ibu atau bapa tunggal.
Sebelum ini, lebih 20 tahun beliau berkecimpung dalam industri kewangan dan insurans. Namun penceraian mengubah haluan kerjaya.
Perkahwinan ketiga membuka ruang untuknya melihat betapa kehidupan selepas perceraian bukan kegagalan tetapi soal menyerap perubahan.
Menurut Mohd Izary, dia tidak keseorangan kerana dibantu isteri, Ungku Zuraida Ungku Izzat, 45, sebagai penasihat kerana sudut pandang wanita juga perlu dalam membantu pelanggan.
"Alhamdulillah, rata-rata klien puas hati dan beri maklum balas positif. Kepuasannya dapat membantu menyelamatkan rumah tangga kerana pernah ada pasangan yang hampir nak bercerai sebelum ikuti program saya tapi batalkan hasrat keesokannya."
Tumpuan selebriti
Walaupun sering menjadi tumpuan selebriti juga orang kenamaan, Mohd Izary turut membuka peluang bimbingan dan khidmat nasihat untuk individu berpendapatan rendah (B40). Yuran bimbingan serendah RM20 sahaja.
“Kelas saya ini dibuka secara dalam talian dan mereka bayar ikut kemampuan. Hasil kutipan akan dikumpulkan dan digunakan untuk kerja amal. Lebih menarik, apabila ada antara mereka ini yang turut sama melaksana kerja amal berkenaan.
“Kami mahu mengubah pemikirannya, daripada terus fikir diri sendiri malang, kena sedar ada orang lain lebih malang.
"Pada masa sama, saya nak ajar mereka daripada jadi penerima, lebih baik jadi pemberi kerana lebih banyak rezeki akan datang," katanya lagi.
Bantuan dalam bentuk barangan keperluan dibeli kemudiannya disumbangkan kepada pusat jagaan atau rumah anak yatim dan mereka yang memerlukan.
Di samping beramal, Mohd Izary mahu jadikan aktiviti berkenaan sebagai terapi buat peserta terbabit yang rata-ratanya baru berpisah dengan pasangan pada tahun ini.


