Lelaki maut dalam pergaduhan di Taman Sentosa Klang, polis siasat kes bunuh

18 Dis 2025, 1:55 AM
Lelaki maut dalam pergaduhan di Taman Sentosa Klang, polis siasat kes bunuh

SHAH ALAM, 18 DIS: Seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun maut selepas dipercayai terlibat dalam satu kejadian pergaduhan yang berlaku di Taman Sentosa, Klang, malam tadi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihak polis menerima maklumat mengenai kejadian itu menerusi panggilan kecemasan MERS 999 kira-kira jam 11.10 malam.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan motif kejadian masih dalam peringkat siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan supaya tampil membantu siasatan.

Orang awam boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah, ASP Mohamed Syahrir Zabidi di talian 012-6650895 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di talian 03-3376 2222.