SHAH ALAM, 18 DIS: Seorang pemuda cedera parah selepas diserang dan ditetak menggunakan parang oleh seorang individu di hadapan sebuah kedai serbaneka di kawasan residensi Batu Caves, di sini, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada pegawai perubatan Jabatan Kecemasan Hospital Selayang pada jam 10.35 pagi, lapor Sinar Harian.
Menurut beliau, mangsa yang berusia dalam lingkungan 20-an dipercayai diserang oleh seorang lelaki tempatan yang tidak dikenali sebelum ditetak menggunakan parang sehingga mengalami kecederaan serius.
“Bertindak atas maklumat, polis menahan empat suspek lelaki tempatan pada hari kejadian dan mereka direman selama tujuh hari sehingga Ahad,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, tangkapan susulan dilakukan pada Selasa dan Rabu melibatkan empat lagi suspek lelaki tempatan yang direman selama enam hari sehingga Isnin.
Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Hakimie Razally di talian 011-3335 2585 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di 03-6126 2222.


