Ribut musim sejuk Gaza: Bangunan runtuh, enam nyawa diselamatkan

18 Dis 2025, 12:15 AM
Ribut musim sejuk Gaza: Bangunan runtuh, enam nyawa diselamatkan

BANDARAYA GAZA (Palestin), 18 DIS: Enam rakyat Palestin, termasuk dua kanak-kanak, berjaya diselamatkan hidup-hidup pada Rabu selepas terperangkap di bawah runtuhan bumbung yang runtuh akibat ribut kuat di utara Semenanjung Gaza, menurut Pertahanan Awam.

Agensi itu dalam satu kenyataan memaklumkan yang tingkat atas sebuah bangunan tiga tingkat runtuh di Kem Pelarian Shati, di barat Bandaraya Gaza, ketika sistem cuaca tekanan rendah melanda wilayah itu sejak Isnin, lapor Anadolu Ajansi.

Orang awam yang diselamatkan berada dalam keadaan sihat, menurut kenyataan itu.

Sistem tekanan rendah baharu menjejaskan Semenanjung Gaza sejak Isnin, disertai hujan lebat, angin kencang dan ribut.

Keadaan cuaca menimbulkan bahaya besar kepada rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal dan kini tinggal di khemah usang atau bangunan yang rosak teruk serta berisiko tinggi, yang berulang kali menjadi sasaran serangan Israel sejak Oktober 2023.

Seorang rakyat Palestin terbunuh dan beberapa yang lain cedera pada Selasa selepas sebuah bangunan runtuh sebahagiannya akibat hujan di Bandaraya Gaza.

Sekurang-kurangnya 14 orang terkorban dalam ribut musim sejuk di Gaza minggu lepas. Lebih 53,000 khemah pelarian sama ada ditenggelami air sebahagian atau sepenuhnya, dihanyutkan arus deras atau koyak akibat angin kencang, manakala 13 bangunan runtuh di seluruh Gaza.

Hampir 70,700 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak maut dalam serangan Israel , serta lebih 171,000 yang lain cedera di Gaza sejak Oktober 2023, menyebabkan wilayah itu musnah teruk.