Kad Fleet Pintar bantu urus minyak, raih ganjaran

18 Dis 2025, 12:00 AM
Kad Fleet Pintar bantu urus minyak, raih ganjaran
Kad Fleet Pintar bantu urus minyak, raih ganjaran

SHAH ALAM, 18 DIS: Kad Fleet Pintar Petronas yang dibekalkan KDEB Waste Management (KDEBWM) kepada subkontraktornya membantu meningkatkan kecekapan pengurusan minyak selain menawarkan manfaat penebusan mata kepada 40 subkontraktor terpilih.

Subkontraktor KDSP 11 Sepang, Mardiana Hamdan berkata penggunaan kad yang disediakan KDEBWM itu membolehkan pengurusan penggunaan minyak dilakukan dengan lebih sistematik, sekali gus mengelakkan berlakunya ketirisan serta penyalahgunaan wang tunai.

Mardiana Hamdan. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

"Pemberian TV dan baucar itu sebagai satu pemangkin semangat untuk kami terus menggunakan fasiliti dan kemudahan sedia ada," katanya.

Sementara itu, subkontraktor KDK 27 Klang, Fakhri Rosli syukur atas pemberian televisyen yang diterimanya dan menyifatkan ganjaran berkenaan sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen serta usaha yang dicurahkan sepanjang melaksanakan tugas.

Fakhri Rosli. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

"Sebagai kontraktor rasa dihargai dengan pemberian ni, sebelum ini kita rasa penggunaan minyak membebankan tapi sekarang bila dapat hadiah rasa lebih dihargai sebab ada pulangan," katanya.

Dalam pada itu, subkontraktor KDAJ 10 Ampang, Idzwan Isa menyifatkan hadiah yang diberikan oleh KDEBWM sebagai suntikan semangat untuk terus meningkatkan prestasi serta memberikan perkhidmatan terbaik dalam melaksanakan tugasan.

Idzwan Isa. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

"Saya mengucapkan terima kasih kepada KDEB atas penghargaan yang diberikan, semua subkontraktor terpilih rasa dihargai dan akan meningkatkan prestasi masing-masing," katanya ditemui selepas majlis penyerahan hadiah kempen penebusan ganjaran Mesra Rewards 2025 kepada subkontraktor KDEBWM di sini, hari ini.

Terdahulu, 40 subkontraktor terpilih menerima hadiah kempen penebusan ganjaran Mesra Rewards 2025 anjuran KDEBWM berupa sebuah televisyen LG 55 inci. Penyerahan hadiah berkenaan disempurnakan Pengarah Urusan KDEBWM, Dato’ Ramli Mohd Tahir di pejabat KDEBWM.