Penganggur didakwa esok atas pertuduhan bunuh isteri

17 Dis 2025, 1:20 PM
Penganggur didakwa esok atas pertuduhan bunuh isteri

SHAH ALAM, 17 DIS: Seorang lelaki yang disyaki membunuh isterinya di sebuah pangsapuri di Jalan Tuna, Seberang Jaya, Butterworth akan didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, kira-kira jam 9 pagi esok.

Suspek berusia 28 tahun itu sebelum ini direman selama tujuh hari sejak 12 Disember bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata pertuduhan akan dikemukakan selepas pihaknya menerima arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya.

“Pendakwaan akan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya seperti dilapor BH.

Media sebelum ini melaporkan suspek dipercayai membunuh isterinya dan menyimpan mayat wanita itu selama empat hari sebelum tampil ke balai polis untuk membuat laporan.

Suspek yang juga penganggur hadir sendiri dan memaklumkan berlaku kematian di unit kediaman mereka di tingkat dua.

Pemeriksaan polis membawa kepada penemuan mayat wanita berusia 44 tahun itu di bilik belakang dengan kesan kelar pada leher, dipercayai akibat senjata tajam.

Siasatan turut mendapati suspek mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah, manakala pasangan itu baru dua tahun berkahwin yang juga perkahwinan ketiga mangsa.

Motif pembunuhan dipercayai berpunca daripada rasa cemburu.