SHAH ALAM, 12 DIS: Rasa cemburu melampau dipercayai menjadi punca tragedi yang meragut nyawa Wan Khairul Safinah Ishak, 44, yang ditemukan meninggal dunia dan disyaki dibunuh suaminya di sebuah pangsapuri di Jalan Tuna, Seberang Jaya, pagi semalam.
Bapa mangsa, Ishak Man, 76, berkata menantunya yang berusia 28 tahun pernah meluahkan rasa tidak puas hati dan cemburu terhadap arwah kira-kira sebulan lalu.
“Dia (menantu) ada beritahu saya yang dia tak suka orang lain (lelaki) cakap dan tengok Wan (anak perempuan pakcik) kerana dia cemburu,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Seberang Jaya (HSJ) seperti dilapor BH.
Menurut Ishak, menantunya itu pernah pulang ke rumahnya di Alor Setar, Kedah bersama arwah bulan lalu sebelum menceritakan masalah cemburu dialaminya.
“Saya hanya minta dia bersabar kerana Wan seorang pendiam dan memang bukan seorang yang suka bercakap banyak dengan sesiapa pun termasuk saya yang juga ayahnya,” katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak menyangka sikap itu akhirnya membawa kepada tragedi kejam yang menimpa anak perempuannya.
“Dia nampak seperti biasa bila saya menegurnya, cuma tidak sangka tergamak dia buat anak saya macam ini seolah-olah seperti orang terkena hasutan sampai hilang akal. Jika pukul itu lain, ini kejam sampai sanggup membunuh,” katanya sebak.

Ishak memaklumkan, Wan Khairul Safinah merupakan anak kedua daripada tiga beradik.
Katanya, abang sulung arwah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya kira-kira 19 tahun lalu, manakala isterinya pula meninggal dunia akibat Covid-19 pada Mac 2022.
“Sekarang tinggallah saya dengan satu-satunya anak bongsu lelaki. Bagaimanapun saya reda dengan ketentuan ini walaupun pahit apabila anak saya pergi dalam keadaan seperti ini,” katanya yang juga pesara Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Jenazah Allahyarham Wan Khairul Safinah selesai dibedah siasat dan telah dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Suka Menanti, Alor Setar, Kedah selepas solat Asar.
Sementara itu, suspek dilaporkan memohon maaf kepada bapa mentuanya ketika dibawa ke Unit Forensik HSJ kira-kira jam 11 pagi tadi.
“Saya minta maaf, ayah,” kata suspek yang berpakaian lokap berwarna oren sebelum dibawa keluar dengan diiringi polis.
Suspek dipercayai menyimpan mayat isterinya di rumah mereka selama empat hari sebelum tampil ke balai polis berhampiran untuk melaporkan kejadian itu, semalam.
Ishak berkata, permohonan maaf berkenaan tidak mampu mengubah hakikat kehilangan anak perempuannya.
“Saya dengar dia mohon maaf tetapi apa boleh buat semuanya telah berlaku,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki dipercayai membunuh isterinya di sebuah pangsapuri di Jalan Tuna, Seberang Jaya sebelum tampil menyerah diri kepada polis.


