Anak dilarikan bersama kereta, ditemui semula selepas tiga jam

17 Dis 2025, 12:07 PM
Anak dilarikan bersama kereta, ditemui semula selepas tiga jam

KUALA LUMPUR, 17 DIS: Suami isteri berdepan detik cemas apabila kereta mereka dilarikan bersama anak perempuan berusia lima tahun di Jalan PJS 6/4, Kampung Lindungan, Petaling Jaya, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shamsudin Mamat berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada 7.24 pagi.

Beliau berkata siasatan awal mendapati suami isteri berkenaan meletakkan kereta di tepi jalan dan meninggalkan anak perempuan mereka di dalam kereta untuk membeli sarapan.

“Susulan itu, polis melancarkan Operasi Tutup dan hasil bantuan orang awam, kenderaan terbabit berjaya ditemukan di kawasan Apartmen Mentari Court, Petaling Jaya kira-kira tiga jam selepas operasi dijalankan dan kanak-kanak itu telah diserahkan semula kepada pasangan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shamsudin berkata usaha mengesan suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang.

Beliau menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih mengenai kejadian itu bagi mengelak kekeliruan serta menjejaskan siasatan pihak berkuasa.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya melalui talian 03-7966 2222 atau pegawai penyiasat Insp Mohd Azman Ayob 012-223 7272.

- BERNAMA