Mahkamah: Enam dituduh culik warga Singapura, minta tebusan

21 Ogos 2026, 8:15 AM
Mahkamah: Enam dituduh culik warga Singapura, minta tebusan

JOHOR BAHRU, 21 OGOS: Enam individu termasuk seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menculik seorang lelaki warga Singapura dengan tujuan mendapatkan wang tebusan SGD20,000 (RM63,000), awal bulan ini.

M. Balamurugan, 46; K. Saravanan, 40; P. Sri Devi, 41; G. Puganeswaran, 38; S. Gobinath, 38, dan X. Adwin Nicholas, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nor Aziati Jaafar.

Mereka didakwa dengan niat bersama menculik lelaki berusia 32 tahun itu bagi mendapatkan wang tebusan di hadapan sebuah gereja di Skudai, kira-kira 2 petang, 8 Ogos lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 40 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya R. Nevina tidak menawarkan jaminan atas alasan kesalahan itu serius dan tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun, peguam K. Veeranesh mewakili Sri Devi memohon jaminan atas alasan anak guamnya tidak bekerja dan memiliki anak berusia antara setahun hingga 22 tahun, manakala tertuduh lain memohon jaminan atas alasan mempunyai tanggungan keluarga.

Mahkamah membenarkan semua tertuduh diikat jamin RM50,000 setiap seorang dengan dua penjamin warga tempatan, selain menetapkan syarat tambahan supaya mereka tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan, melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Di Mahkamah Majistret, kesemua tertuduh turut mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret A. Shaarmini atas pertuduhan melarikan wanita warga Singapura berusia 33 tahun dengan niat menyebabkan mangsa dikurung secara rahsia dan salah di sebuah pangsapuri di Taman Skudai Baru, antara 2 petang pada 8 Ogos hingga 6.30 petang 11 Ogos lepas.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Eizlan Azhar tidak menawarkan jaminan namun Veeranesh mewakili Sri Devi memohon jaminan diberikan dan Shaarmini membenarkan semua tertuduh diikat jamin RM10,000 setiap seorang dengan dua penjamin serta syarat menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Di Mahkamah Sesyen berasingan, Balamurugan, Saravanan dan Gobinath mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Madihah Zainol atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap lelaki yang sama membabitkan seutas rantai leher emas dan seutas jam tangan jenama Rolex milik mangsa, di dalam kereta sekitar Johor Bahru Utara, kira-kira 2 petang, 8 Ogos lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan. Nevina tidak menawarkan jaminan atas alasan kesalahan itu serius dan tidak boleh dijamin.

Mahkamah membenarkan ketiga-tiga tertuduh diikat jamin RM9,000 setiap seorang dengan seorang penjamin warga tempatan, selain syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan, melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Dalam prosiding berasingan, Saravanan dan Puganeswaran masing-masing didenda RM3,000 selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret Nurzihan Abdul Rehman atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap lelaki sama menggunakan sebilah pisau.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah pangsapuri di Taman Skudai Baru antara 10 pagi hingga 1 tengah hari 11 Ogos lepas mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Nurzihan memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Kesemua mahkamah menetapkan 23 Sept ini untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.

-- BERNAMA

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.