Penggunaan vape diharamkan sepenuhnya menjelang 2026 - Menteri

16 Dis 2025, 11:22 AM
Penggunaan vape diharamkan sepenuhnya menjelang 2026 - Menteri

SHAH ALAM, 16 DIS: Kerajaan bakal mengharamkan penggunaan vape sepenuhnya menjelang 2026, dengan Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan larangan itu bukan lagi persoalan ‘jika’, tetapi hanya menunggu masa untuk dilaksanakan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata keputusan dasar berkaitan pengharaman vape telah dibuat, dan kementerian kini meneliti masa paling sesuai untuk pelaksanaannya.

“Kita sebenarnya sudah sedia dan saya pernah kata istilah sekarang ini bukan ‘jika’ kita haramkan vape, tetapi ‘bila’ kita akan haramkannya.

“Ini bermakna, kita sudah menetapkan keputusan untuk pengharaman vape, mungkin pertengahan 2026 atau paling lewat hujung 2026,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerja rasmi di Hospital Permai di Johor Bahru seperti dilapor BH, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon serta Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), Dr Mohtar Pungut @ Ahmad.

Dzulkefly berkata meskipun cadangan itu tidak sempat dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet baru-baru ini, beliau yakin ia akan dibawa semula untuk pertimbangan pada awal tahun depan.

Mengulas lanjut, beliau berkata peningkatan kes penggunaan cecair vape yang dicampur bahan terlarang dan bahan sintetik menjadi antara faktor utama kerajaan mempercepatkan langkah pengharaman.

“Kita dengar terlalu banyak kebejatan mengenai vape dan penggunaannya.

“Saya baru dengar tadi ada pesakit di sini (Hospital Permai) yang dirujuk kerana mengalami psikosis akibat penggunaan bahan seperti kanabis sintetik dan bahan terlarang lain, sebahagiannya diambil melalui vape,” katanya.