SHAH ALAM, 16 DIS: Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih menyumbangkan sebuah kipas siling industri berteknologi High Volume Low Speed (HVLS) bernilai hampir RM20,000 kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Engku Husain sebagai usaha menambah baik kemudahan sekolah.
Penyelarasnya, Datuk Johan Abd Aziz berkata sumbangan itu bertujuan meningkatkan keselesaan pelajar dan warga pendidik terutama di kawasan perhimpunan serta ruang aktiviti sekolah.
“Usaha ini sebahagian daripada komitmen berterusan kami menyokong kebajikan serta persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.
“Pemasangan kipas HVLS bersaiz besar ini mampu memberikan aliran udara yang lebih menyeluruh, sekali gus mengurangkan rasa panas terutama ketika perhimpunan pagi dan aktiviti melibatkan ramai pelajar,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tua berharap inisiatif tersebut memberi impak positif kepada keselesaan dan prestasi warga sekolah, selaras dengan usaha memperkukuh kemudahan awam di kawasan Semenyih.
“Alhamdulillah, saya berbesar hati dapat menyumbangkan kipas siling industri jenis HVLS ini kepada SMK Engku Husain.
“Saya berharap sumbangan ini memberi manfaat kepada para pelajar dan warga pendidik serta menyokong kesejahteraan dan kecemerlangan sekolah,” katanya.
Sementara itu, pihak sekolah merakamkan penghargaan atas keprihatinan dan sokongan yang diberikan, menyifatkannya sebagai langkah penting dalam meningkatkan kualiti persekitaran pembelajaran.
“Terima kasih di atas sumbangan kipas gergasi yang sangat memberi manfaat kepada warga sekolah,” ujar wakil pendidik sekolah tersebut.


