Kupon digital PLATS diedar kepada 300 pengunjung terawal Pasar Malam Pandamaran Jaya

16 Dis 2025, 8:53 AM
Kupon digital PLATS diedar kepada 300 pengunjung terawal Pasar Malam Pandamaran Jaya

SHAH ALAM, 16 DIS: Sebanyak 300 kupon Digital Platform Selangor (PLATS) akan diberikan kepada pengunjung menerusi Program Agihan Kupon Digital PLATS di Pasar Malam Pandamaran Jaya, Klang Khamis ini.

Menerusi perkongsian di Facebook Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), agihan kupon bernilai RM15 tersebut akan bermula jam 5 petang.

"Warga Klang dipelawa hadir ke Program Agihan yang akan berlangsung di Pasar Malam Pandamaran Jaya, Klang Khamis ini," menurut MBDK.

Pihak berkuas tempatan itu memaklumkan, program berkenaan bertujuan menggalakkan penggunaan transaksi digital serta menyokong peniaga tempatan.

"Pengunjung hanya perlu mengikuti akaun rasmi TikTok Platform Selangor (PLATS) di lokasi acara dan mencari Duta PLATS untuk penebusan kupon.

"Orang ramai digalakkan hadir awal kerana kupon adalah terhad dan diberikan berdasarkan konsep siapa cepat, dia dapat," tambah MBDK.