Dapur kotor dan ada najis tikus, MPHS tutup dua premis makanan

16 Dis 2025, 6:21 AM
Dapur kotor dan ada najis tikus, MPHS tutup dua premis makanan
Dapur kotor dan ada najis tikus, MPHS tutup dua premis makanan
Dapur kotor dan ada najis tikus, MPHS tutup dua premis makanan
Dapur kotor dan ada najis tikus, MPHS tutup dua premis makanan
Dapur kotor dan ada najis tikus, MPHS tutup dua premis makanan
Dapur kotor dan ada najis tikus, MPHS tutup dua premis makanan

SHAH ALAM, 16 DIS: Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) mengarahkan penutupan dua premis makanan selama 14 hari, bermula 9 hingga 22 Disember kerana isu kebersihan serta penemuan tikus dan lipas di kawasan penyediaan makanan.

Tindakan itu diambil menerusi Ops Suci yang dilaksanakan di Jalan Telipot dan Jalan Seroja, membabitkan seramai 18 anggota Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (JPSPPA) MPHS, diketuai Pegawai Kesihatan Persekitaran, Muhamad Ismail Gulam Rasul.

Menurut MPHS, pemeriksaan mendapati pelbagai ketidakpatuhan kritikal antaranya premis beroperasi tanpa lesen, kehadiran najis tikus dan lipas, pengendali makanan tanpa suntikan anti-tifoid serta kursus pengendalian makanan, peti sejuk tanpa kawalan suhu, selain peralatan memasak dan tandas tidak bersih.

Selain itu, lantai dapur didapati licin dan menakung air, perangkap sisa tidak disenggara sehingga menyebabkan sisa mengalir ke longkang awam serta amalan berisiko yang boleh mencetuskan pencemaran.

“Susulan itu, MPHS mengeluarkan 19 tawaran kompaun di bawah Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan 2007 dan Undang-Undang Kecil Pengendali Makanan 2007 atas pelbagai kesalahan,” katanya menerusi kenyataan.

Dalam operasi sama, MPHS turut mengambil tindakan terhadap lima premis yang menggunakan bekas polisterina, selaras dengan larangan Kerajaan Negeri Selangor.

“Penguatkuasaan larangan penggunaan polisterina akan dilaksanakan secara berterusan dan konsisten memandangkan implikasinya terhadap kesihatan awam serta alam sekitar,” katanya sambil menambah kompaun dikenakan sebagai langkah pendidikan dan pencegahan.

MPHS memaklumkan, dua premis yang diarahkan tutup hanya dibenarkan beroperasi semula selepas menjalani pembersihan menyeluruh dan lulus pemeriksaan susulan.

Pihak berkuasa tempatan itu menegaskan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan bagi melindungi kesihatan pengguna, memperkukuh pematuhan undang-undang kecil serta memastikan persekitaran perniagaan makanan di Hulu Selangor kekal selamat, bersih dan teratur.