SHAH ALAM, 16 DIS: Seorang peniaga berdepan detik cemas apabila kereta dipandunya terbabas selepas cuba mengambil telefon bimbit yang terjatuh ketika memandu di Jalan Sungai Rambai, Kuala Langat, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi, berkata kejadian jam 3.20 petang itu membabitkan sebuah Porsche Panamera yang dipandu lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an, lapor Berita Harian.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati mangsa dalam perjalanan dari Shah Alam menuju ke Jenjarom sebelum menggunakan telefon bimbit bagi mengakses aplikasi Google Maps.
“Namun peranti berkenaan terjatuh ke bawah kerusi dan ketika pemandu cuba mengambilnya, kenderaan hilang kawalan ke kiri lalu terbabas melepasi parit sebelum terhenti di atas tebing,” katanya.
Menurut Mohd Akmalrizal, pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan dan disahkan memiliki lesen memandu yang sah.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Inspektor Mazrol Mohd Din di talian 03-3187 2222 atau 011-1853 9115, atau mana-mana balai polis berhampiran.


