Kes MH370: Malaysia Airlines dalam proses rayuan pampasan RM1.68 juta

15 Dis 2025, 1:14 PM
Kes MH370: Malaysia Airlines dalam proses rayuan pampasan RM1.68 juta

SHAH ALAM, 15 DIS: Malaysia Aviation Group (MAG) memaklumkan pampasan berjumlah RM1.68 juta bagi setiap kes berkaitan kehilangan pesawat MH370 kini dikendalikan Malaysia Airlines bersama wakil perundangannya.

Perkara itu susulan laporan sebuah mahkamah di Beijing mengarahkan syarikat penerbangan tersebut membayar lebih RM1.68 juta (2.9 juta yuan) kepada sebahagian keluarga penumpang MH370 bagi setiap kes sebagai pampasan.

Pengarah Urusan MAG, Datuk Kapten Izham Ismail berkata peguam Malaysia Airlines sedang mengemukakan rayuan terhadap keputusan berkenaan.

“Kami tiada sebarang perkembangan terkini setakat ini. Peguam kami sedang membuat rayuan,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Pelan Perniagaan Jangka Panjang (LTBP) 3.0 MAG seperti dilapor NST.

Penerbangan MH370, sebuah pesawat Boeing B777 milik Malaysia Airlines yang membawa 239 penumpang dan anak kapal, hilang pada 8 Mac 2014 ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Sebahagian besar penumpang dalam pesawat itu merupakan warganegara China.

Pada 9 Disember lalu, sebuah mahkamah di Beijing memerintahkan Malaysia Airlines membayar pampasan kepada setiap keluarga penumpang meliputi pampasan kematian, kos pengebumian serta ganti rugi akibat tekanan emosi.