BEIJING, 8 DIS: Sebuah mahkamah di Beijing hari ini mengarahkan Malaysia Airlines (MAS) membayar pampasan kepada waris lapan penumpang pesawat MH370 yang hilang lebih sedekad lalu.
Mahkamah Rakyat Daerah Chaoyang dalam kenyataan memaklumkan, sebanyak 47 lagi saman ditarik balik selepas keluarga terbabit mencapai penyelesaian di luar mahkamah dengan MAS dan anak syarikat antarabangsa, Malaysia Airlines International.
Menurut mahkamah, pampasan yang diputuskan pada Jumaat lalu merangkumi kos pengebumian, tekanan emosi dan kerugian lain, dengan setiap keluarga dijangka menerima lebih 2.9 juta yuan (RM1.69 juta).
Pesawat Boeing 777 yang membawa 239 penumpang itu hilang daripada radar pada 8 Mac 2014 ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing. Walaupun operasi pencarian terbesar dalam sejarah penerbangan dilancarkan, pesawat berkenaan masih belum ditemui.
Dua pertiga daripada penumpang merupakan warganegara China, manakala selebihnya rakyat Malaysia, Indonesia, Australia, India, Amerika Syarikat, Belanda dan Perancis.
Daripada 78 kes asal difailkan keluarga mangsa, mahkamah memaklumkan 23 kes masih belum diputuskan, berkemungkinan kerana waris belum memohon atau melengkapkan proses pengisytiharan kematian.
Lapan penumpang yang keluarganya menerima pampasan pula sudah diisytiharkan meninggal dunia secara sah.
Pengumuman itu dibuat beberapa hari selepas pihak berkuasa Malaysia mengesahkan pencarian pesawat akan disambung semula hujung bulan ini, satu perkembangan yang dialu-alukan kerajaan China dan waris mangsa.
Terdahulu, Kementerian Pengangkutan (MOT) memaklumkan operasi pencarian serpihan pesawat akan bermula semula pada 30 Disember. Syarikat pencarian Ocean Infinity turut mengesahkan misi dasar laut selama 55 hari itu dimulakan semula secara berperingkat.
“Pencarian akan dijalankan di lokasi sasaran yang mempunyai kebarangkalian tertinggi untuk menemukan pesawat, selaras perjanjian perkhidmatan dimeterai antara kerajaan Malaysia dan Ocean Infinity pada 25 Mac lalu. Perkembangan ini menekankan komitmen kerajaan memberikan kepastian kepada keluarga mangsa,” menurut kenyataan itu.
Pada 25 Februari lalu, The Telegraph melaporkan Ocean Infinity sudah memulakan pencarian baharu di Lautan Hindi dengan kapal Armada 7806 dikesan tiba di zon pencarian kira-kira 1,931km dari Perth, Australia.
Pada April lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengesahkan pencarian bangkai MH370 oleh Ocean Infinity ditangguhkan sementara.


